Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama dan filem yang menyentuh sensitiviti agama serta kaum dalam karya mereka.
Tayangan timbulkan keresahan
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menyatakan kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara.
“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berhubung penayangan drama ‘Madu atau Racun’ di platform penstriman iQIYI yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat,” katanya.

MCMC akan adakan pertemuan dengan pihak produksi
Menurut Fahmi, Kementerian Komunikasi sudah mengarahkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan iQIYI.
Katanya, pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama berkenaan.
“Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut mengambil bahagian dalam pertemuan tersebut,” jelas Menteri komunikasi itu.

Fahmi menambah, FINAS mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan aktiviti perfileman dan pawagam, manakala MCMC mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan penyiaran televisyen dan komunikasi.
“Pada masa ini, platform penstriman Over-The-Top (OTT) masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan yang sama seperti penyiaran konvensional,” katanya.
Kebebasan berkarya perlu disertai dengan tanggungjawab
Beliau sekali lagi menegaskan kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara.
Tambahnya, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang berkuat kuasa.
Katanya, pihak berkaitan akan meneliti perkara itu menerusi pertemuan yang dijadualkan bersama pihak produksi dan iQIYI.
“Selepas pertemuan dan mesyuarat yang dijadualkan pada petang ini, FINAS, mewakili pihak-pihak yang terlibat, akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung hasil perbincangan serta tindakan susulan yang akan diambil,” katanya.

Terdahulu, drama ‘Madu atau Racun’ yang disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat susulan kandungan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.
Antara perkara yang dipertikaikan ialah penggambaran watak Nikita yang mempunyai kecenderungan terhadap kaum sejenis, selain elemen berkaitan hubungan dan institusi kekeluargaan yang mendapat perhatian serta kritikan penonton.
Kontroversi berkenaan kemudiannya mendorong pelbagai pihak menggesa kerajaan menilai semula kandungan drama tersebut.
Sumber: Sinar Harian (Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan)

