Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyangkal dakwaan Kementerian Kewangan (MoF) kononnya kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek pembangunan, khususnya pembinaan jalan luar bandar.
Setiap permohonan peruntukan dibentang ke MoF
Menerusi penjelasan yang dikongsi di media sosial, Setiausaha Akhbar Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil menegaskan, kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berhubung perkara tersebut tidak tepat serta tidak menggambarkan situasi kewangan sebenar.
Menurut beliau, Tatacara Kewangan Kerajaan serta sistem perakaunan Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS) secara teknikalnya tidak membenarkan mana-mana kementerian membuat perbelanjaan melangkaui had yang diluluskan.
“Tatacara Kewangan Kerajaan tidak sesekali membenarkan dan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan melebihi peruntukan yang telah diluluskan.
“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan Kerajaan yang mengguna pakai iGFMAS. Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.
“Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Projek dimulakan tidak boleh dihentikan
Mengulas lanjut, Fadzmel menjelaskan kenyataan MoF sebelum ini dilihat gagal menyertakan data tahun 2019 hingga 2021 yang kritikal untuk memahami gambaran keseluruhan komitmen projek luar bandar.
Jelasnya, dalam tempoh pandemik COVID-19 itu, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek-projek tertentu telahpun dikeluarkan dan obligasi kontrak sah telah wujud.
“Apabila projek-projek berkenaan kembali berjalan, tuntutan pembayaran daripada kontraktor turut dibawa ke tahun-tahun berikutnya. Ini bermakna apabila kerja telah dilaksanakan oleh kontraktor, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membuat pembayaran mengikut kemajuan kerja dan obligasi kontrak.
“Projek yang telah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja hanya kerana peruntukan tahunan telah hampir digunakan sepenuhnya,” ujar beliau lagi.
Bagi mengurus liabiliti berkenaan, beliau memaklumkan KKDW telah mengambil langkah kawalan awal termasuk menyusun semula peruntukan dalaman, mengehadkan projek pra-pelaksanaan serta membatalkan tender berimpak tinggi demi menyerap komitmen tersebut sebelum memohon peruntukan rasmi pada suku kedua 2026.
RM300 juta bukan peruntukan tambahan baharu
Menyentuh kenyataan MoF mengenai kelulusan dana RM300 juta, Fadzmel menegaskan ia bukan suntikan ‘peruntukan tambahan baharu’, sebaliknya peruntukan yang sepatutnya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) bagi menampung tunggakan terdahulu.
Ujarnya, SKB hanya dikeluarkan pada petang 1 September lalu selepas isu berkenaan dibangkitkan sekali lagi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri KKDW, pada sebelah pagi hari yang sama.
Malahan, jumlah RM300 juta itu disifatkan masih belum mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran projek memandangkan pelarasan hanya akan dimuktamadkan pada hujung tahun.
Fadzmel turut mengingatkan bahawa peruntukan pembangunan berkenaan tidak dibayar secara terus oleh KKDW kepada kontraktor, sebaliknya disalurkan kepada agensi penyelia teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sebaiknya perkara ini tidak seharusnya menjadi pertikaian antara kementerian. Apa yang lebih penting ialah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah wujud bagi memastikan tiada timbul persepsi seolah-olah KKDW melakukan kesalahan dalam perbelanjaan dan tidak berhemah,” tambahnya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dalam satu kenyataan media menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan peruntukan dibuat terhadap KKDW, sebaliknya kekangan pembayaran kepada kontraktor berbangkit kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Johan mendedahkan sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Data Perbendaharaan menunjukkan perbelanjaan sebenar KKDW bagi projek jalan luar bandar mencecah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion yang diluluskan pada 2023, RM2.0 bilion berbanding RM1.3 bilion pada 2024, RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion pada 2025, serta RM1.9 bilion sehingga Jun 2026 daripada siling tahunan RM2.1 bilion.
Susulan itu, MoF memaklumkan telah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta pada 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor, selain sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.
Sumber: Facebook Amel Fadzmel
