Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek tampil menjelaskan antara usaha yang dilaksanakan bagi mengurangkan beban tugas guru di sekolah.
Mansuhkan pertandingan tak beri impak
Menurut Fadhlina dalam perkongsian di Facebook, salah satu langkah yang diambil adalah memansuhkan pertandingan seperti tandas tercantik, laman tercantik, bilik terbaik serta program lain yang tidak memberi impak langsung kepada pembelajaran.
“Fadhlina buat apa, ingat lagi tujuh langkah awal untuk mengurangkan beban guru yang kita umumkan? Ini salah satunya.
“Ini satu daripada tujuh langkah awal mengurangkan beban guru.Yang lain, satu-satu kita cerita,” ujarnya.
Tambah Fadhlina, pemansuhan berkenaan dibuat kerana setiap pertandingan yang dianjurkan bukan sekadar melibatkan aktiviti menghias atau persiapan semata-mata.
Jelasnya, setiap pertandingan turut memerlukan mesyuarat, persiapan, dokumentasi dan laporan yang akhirnya menggunakan masa serta tenaga guru.
“Di situ ada masa dan tenaga guru yang terpaksa digunakan.
“Sebab itu kita mula buang satu demi satu program yang tidak perlu supaya guru boleh kembali memberi tumpuan kepada perkara paling penting iaitu mengajar dan mendidik anak-anak kita,” ujarnya.
Foto: FB Fadhlina Sidek
Langkah berkenaan merupakan antara tujuh langkah awal yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan bagi mengurangkan beban guru, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada tugas utama dalam proses pengajaran dan pendidikan.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek
