LONDON – Lima individu termasuk seorang remaja perempuan didakwa susulan kematian seorang bayi perempuan yang baru lahir di Sheffield, menurut Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
Dua lelaki, dua wanita dan seorang remaja perempuan didakwa selepas bedah siasat forensik mendapati punca kematian bayi itu akibat luka tikaman, menurut kenyataan CPS.
“Dukacita dimaklumkan kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia di sebuah kediaman di Holywell Heights pada Ahad, 30 Ogos, selepas anggota polis bertindak susulan laporan mengenai kebimbangan terhadap keselamatan seorang bayi,” menurut kenyataan itu.
CPS memaklumkan Andrea Skopova, 20, Peter Horvath, 19, Peter Horvath, 38, dan Nina Horvathova, 37, didakwa atas kesalahan membunuh, menyebabkan atau membiarkan kematian seorang kanak-kanak serta menghalang proses keadilan dengan mengambil langkah menyembunyikan pembunuhan bayi itu.
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, yang tidak boleh dinamakan atas faktor perundangan kerana usianya, didakwa atas kesalahan menghalang proses keadilan, menurut CPS.