Warga asing bina penempatan haram di tanah rizab sungai di Selayang

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Selayang: Sebuah penempatan terpencil di Sungai Batu, di sini, dipercayai diduduki warga asing termasuk etnik Rohingya, yang didakwa membina beberapa rumah secara tidak sah.

Warga asing itu juga dipercayai turut membela anjing sebagai ‘loceng’ pengesan kehadiran individu tidak dikenali.

Perkara itu didedahkan sekumpulan individu yang mendakwa turut ke lokasi dan berkongsi video mengenainya di media sosial.

Berdasarkan perkongsian video dari penstriman langsung pihak berkenaan, situasi lokasi dilihat seperti di belukar dengan beberapa binaan dipercayai penempatan yang dibina secara tidak sah, namun ‘penduduk’ sudah ‘lesap’ dipercayai melarikan diri.

Berkongsi perkara itu, Zarif Syarafuddin Sufi, 24, berkata, dia bersama kumpulannya dan badan bukan kerajaan (NGO), Surplus ke lokasi berkenaan, selepas menerima maklumat berhubung perkara itu daripada seorang penduduk setempat pada Isnin lalu.

Dakwanya, kawasan berkenaan dipercayai tanah rizab sungai, dijadikan penempatan warga Bangladesh dan etnik pelarian Rohingya. Warga asing itu turut didakwa membina kira-kira tiga rumah untuk diduduki, reban ayam dan membela puluhan anjing di kawasan berkenaan.

“Ketika kami masuk, anjing di situ menyalak kuat dan mungkin itu menjadi petanda buat warga asing di situ melarikan diri. Di dinding rumah mereka, ada contengan disyaki bahasa etnik Rohingya.

“Saya percaya penempatan itu memang diduduki warga asing cuma apabila kami sampai mereka semua sudah tiada, namun ada ‘jejak’ ditinggalkan iaitu nasi dan lauk yang masih panas,” dakwanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia mendakwa warga asing itu turut membuat bot sendiri dengan menggunakan tong, selain mempunyai tanaman pisang dan keladi, serta disyaki menjala ikan di sungai untuk dijual di pasar.

Menurutnya lagi, mereka menemukan kira-kira 50 kilogram (kg) ikan talapia disimpan di dalam tong.

“Kami juga jumpa sambungan paip air haram cuma tidak tahu dari mana ia disambungkan, dan di bawah jambatan berhampiran ada kira-kira sembilan rumah diduduki disyaki warga Bangladesh,” dakwanya.

Zarif berkata, dia berkongsi pendedahan itu untuk membuka mata rakyat supaya tidak terus membiarkan warga asing membuat sewenang-wenangnya terutama menceroboh kawasan rizab untuk penempatan haram, seolah-olah negara ini tiada undang-undang.

“Sebagai rakyat negara ini saya tak mahu warga asing termasuk pelarian membina penempatan haram walaupun mereka mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Saya buat penstriman langsung itu juga sebagai bukti pendedahan berkenaan dan sebelum ini aduan berhubung perkara itu juga sudah pernah dibuat,” dakwanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi berkata, penempatan haram adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan berbincang dengan agensi penguat kuasa lain bagi tindakan lanjut terutama membabitkan pemeriksaan dokumen berhubung isu berkenaan.

“Kita akan bincang dengan agensi penguat kuasa lain yang diterajui pihak berkuasa tempatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top