hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 225 tindakan penggantungan dan pembatalan lesen vokasional direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Ogos 2025 hingga hari ini (2 September 2026), atas pelbagai kesalahan termasuk kemalangan maut dan kecuaian pemandu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, 40 kes direkodkan membabitkan kemalangan yang menyebabkan kematian atau kecederaan.
Menurutnya, lapan kes membabitkan kemalangan akibat pemanduan cuai, melulu dan membahayakan, 167 kes kerana gagal mematuhi arahan timbang, serta 10 kes berkaitan kesalahan membuang muatan.
“Sementara itu, pengendali dan syarikat yang melanggar syarat permit atau lesen pengendali turut berdepan tindakan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
“Sehingga hari ini, sebanyak 20 kes sudah direkodkan berkaitan kes kemalangan maut, dengan 10 kes masih dalam siasatan, lima kes di peringkat perbicaraan dan lima kes sudah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“Sekiranya sabit kesalahan di bawah seksyen ini, individu terbabit boleh berdepan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama, Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JPJ Inspection and Safety Audit – JISA) terhadap pengendali berkaitan turut dilaksanakan.
Katanya, ia bagi menilai tahap pematuhan terhadap keperluan keselamatan yang ditetapkan merangkumi aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan pengendali.
Aedy Fadly berkata, pihaknya memandang serius rentetan kemalangan yang dilaporkan berlaku pada 31 Ogos lalu sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan pengguna jalan raya.
Menurutnya, ia seperti insiden di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Pahang, yang membabitkan sebuah bas ekspres, beberapa kereta dan sebuah lori, serta kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa rombongan pelajar di Sabah.
“JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan pelanggaran undang-undang atau ketidakpatuhan, termasuk penggantungan dan pembatalan lesen memandu vokasional mengikut Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tegasnya, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan dan tidak boleh dikompromi atas sebarang alasan.
“Pemandu dan pengendali bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dioperasikan berada dalam keadaan selamat,
mematuhi keperluan yang ditetapkan serta dikendalikan secara
bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
