Kelantan City bawa bekalan dua gol ke Paroi

KOTA BHARU: Kelantan City FC mencipta kejutan besar apabila menewaskan pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu memberikan bekalan selesa buat Kelantan City menjelang aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada 9 September ini.

Pada perlawanan itu, Kelantan City membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi tandukan tepat Ahmad Nazri Muhammad yang menyudahkan hantaran lintang sempurna Mohamad Faris Shah Mohd. Rosli.

Tersentak dengan gol awal itu, NSFC bangkit mengatur serangan bagi mencari gol penyamaan, namun benteng tuan rumah kekal ampuh mengekang setiap percubaan pasukan pelawat.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat babak pertama sekali gus memberikan kelegaan buat barisan pemain tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Kelantan City semakin bernafsu mencari bekalan selesa dan hampir menambah jaringan pada minit ke-69, namun Emmanuel Ozuchukwu mensia-siakan umpanan kemas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Minit ke-84, Ozuchukwu memastikan Kelantan City membawa bekalan selesa ke Paroi apabila meledakan jaringan kedua tuan rumah.

Pelawat cuba bangkit selepas itu, namun benteng pertahanan Kelantan City kekal berdisiplin di untuk memastikan kemenangan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.-UTUSAN

Scroll to Top