Gembira dapat berita Abang Yasin sudah pulang – Zizi

Kuala Lumpur: Penyanyi, Zizi Kirana, 41, berkongsi kegembiraan mendengar khabar baik, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman sudah dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Zizi ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dengan perkembangan terbaharu penyanyi dan komposer yang dikenali menerusi karya-karya berkualiti itu.

“MasyaAllah, tabarakallah, alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira dapat berita Abang Yasin sudah keluar. Kita pun sudah lama tidak melihat kemunculan beliau, dengan karya-karya beliau.

“Jadi, saya percaya berita ini menggembirakan ramai orang yang menyayangi dan menghargai Abang Yasin,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Zizi berkata, kepulangan Yasin memberikan lebih kegembiraan buatnya apabila mereka juga baru mengeluarkan lagu Yang Tinggal yang turut membabitkan penyanyi rap, Malique.

“Bagi saya lebih bermakna lagi apabila kami baru saja melancarkan lagu Yang Tinggal bersama Abang Yasin dan Abang Malique.

“Jadi saya sangat berharap karya ini menjadi salah satu langkah kecil untuk Abang Yasin kembali berkarya dan berkongsi sesuatu dengan peminat, macam dulu-dulu. Insya-Allah.

“Saya mendoakan semoga Allah terus memberikan kekuatan dan kesihatan serta ketenangan kepada Abang Yasin. Kita doakan yang baik-baik buat Abang Yasin. Tolong seru juga untuk Abang Yasin dapat ‘perform’ lagu Yang Tinggal,” katanya dengan teruja.

Terdahulu, abang kepada Yasin iaitu Zain Sulaiman mengesahkan adiknya dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia hari ini sekali gus mengakhiri tempoh rawatan tiga tahun empat bulan di institusi itu.

Kepulangan penyanyi berusia 51 tahun itu disambut penuh kesyukuran ahli keluarga terdekat.

Abangnya, Zain memberitahu keluarga dihubungi pengurusan hospital sejak minggu lalu bagi memaklumkan keputusan Yasin mendapat kebenaran keluar mengikut prosedur ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top