LATEST

Pemandu jentera penggelek JPS maut, kenderaan hilang kawalan

Pemandu jentera penggelek JPS maut, kenderaan hilang kawalan

am@hmetro.com.my

Tampin: Pemandu jentera penggelek (compactor roller) maut selepas jentera dipandunya hilang kawalan dan terjatuh ke dalam semak di Kampung Anak Ayer Durian Daun, Kampung Pondoi, di sini, tengah hari tadi.

Baca juga: Strok bukan penghalang Syamsinar mengundi kali pertama

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, mangsa yang berusia 45 tahun itu dikatakan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan.

“Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan iaitu compactor roller di jalan dalam kebun Kampung Anak Ayer Durian Daun.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila jentera jenis Bomag Ltd yang dipandu seorang lelaki tempatan sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika sedang mengundur, pemandu jentera itu dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu terjatuh menggelongsor ke dalam semak.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan awal tetapi disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 3 petang.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 06-4412502 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Sritharan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news