Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak, hari ini selepas menjalani rawatan selama tiga tahun empat bulan.
“Saya dah ‘kenyang’ dengan kebebasan,”
Itu reaksi Yasin, 51, kepada abangnya, Zain Sulaiman selepas penyanyi lagu Mimpi Laila itu disahkan boleh pulang mengikut prosedur ditetapkan.
Dapat kebenaran pihak hospital
Memetik laporan daripada Harian Metro, kepulangan Yasin disambut penuh kesyukuran oleh ahli keluarga terdekat yang hadir menjemputnya di hospital sekitar jam 10 pagi.
Zain menyatakan keluarga dimaklumkan pihak pengurusan hospital sejak minggu lalu mengenai keputusan Yasin mendapat kebenaran untuk keluar.
“Hari ini dia (Yasin) baru dapat keluar dan kebenaran untuk pulang disahkan. Keputusan ini mengambil masa kerana ada banyak proses yang perlu dilalui. Namun, pihak hospital hubungi saya minggu lalu untuk menjemputnya hari ini,” katanya.
Bersyukur dengan pembebasan tersebut
Menurut Zain, dia bersama ahli keluarga termasuk isteri, adik serta anak perempuan Yasin, Malaika, 18, bertolak ke Hospital Bahagia awal pagi tadi.
“Keluarga memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga atas pembebasan itu selepas mengharungi tempoh sukar dan penantian selama empat tahun, lima bulan dan sembilan hari (termasuk tempoh perbicaraan),” katanya.
Foto: Harian Metro
Yasin sihat dan nampak gembira
Mengulas keadaan Yasin, Zain menambah adiknya kini berada dalam keadaan fizikal yang amat sihat dan bertenaga selain sangat gembira selepas sekian lama menantikan kepulangan.
“Alhamdulillah, dia sangat sihat dan gembira. Dia sudah mempersiapkan diri untuk keluar sejak sekian lama. Malah kalau tak silap saya, dia ada six-pack sekarang sebab rajin work out sana (berseloroh),” katanya.
Ujarnya lagi, semangat Yasin untuk kembali menjalani kehidupan bersama masyarakat jelas kelihatan apabila adiknya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang tempoh pemantauan hospital.
Mengenai pembabitan semula Yasin dalam industri muzik, Zain berkata fokus utama ketika ini adalah memberi ruang kepada adiknya menyesuaikan diri dengan kehidupan seharian secara perlahan-lahan.
“Insya-Allah, tetapi, saya fikir disebabkan dia sudah lama tidak bergiat aktif iaitu lebih empat tahun, dia perlu sesuaikan diri semula secara perlahan-lahan. Apa yang penting, dia berada dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.
Masih tertakluk dengan pemantauan kesihatan
Walau bagaimanapun, Yasin masih tertakluk kepada pemantauan kesihatan berterusan dan perlu menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di hospital setiap bulan.
Lebih mencuit hati, Zain berkongsi Yasin turut ditanya mengenai juadah yang mahu dinikmati selepas mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Apabila saya tanya dia hendak makan apa untuk tengah hari, dia jawab dia tak nak makan apa-apa. Dia cakap dia sudah kenyang dengan kebebasan. Itu reaksi pertamanya yang membuatkan kami terhibur dan terharu,” katanya.

Terdahulu, berita kepulangan Yasin turut dikongsi sahabatnya yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Brothers, Akbar Azmi menerusi video yang dimuat naik ke media sosial.
Sumber: Harian Metro (Syafil Syazwan Jefri & Fatin Farhana Ariffin)
