Pemuda PAS 'buka tirai' Muktamar PAS ke-72

Kota Bharu: Dewan Pemuda PAS, malam tadi, membuka tirai Muktamar PAS Ke-72 dengan mengadakan persidangan tahunannya, yang dihadiri lebih 500 perwakilan dari seluruh negara.

Program bertemakan “Memimpin Penyatuan” bermula 8.30 malam dan berakhir kira-kira 10.45 malam.

Muktamar akan diteruskan hari ini, dengan majlis perasmian, yang dijadual disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, turut dijangka menghadiri majlis perasmian hari ini.

Media tidak dibenarkan membuat liputan persidangan yang diadakan secara tertutup malam tadi kerana perwakilan dijadual menerima laporan, penyata kewangan dan membincangkan isu politik semasa, termasuk usul yang akan dibentangkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Muktamar Pemuda PAS, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, perwakilan memulakan hari pertama dengan menerima minit mesyuarat dan laporan mengenai aktiviti sayap itu bagi sepanjang tahun.

“Ini adalah hari pertama Muktamar Pemuda PAS, yang dimulakan dengan penerimaan minit mesyuarat dan laporan bagi tahun ini, diikuti penyata kewangan.

“Usul dijangka dibentang untuk dibahaskan. Muktamar akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS pagi esok (hari ini), diikuti persidangan yang akan diteruskan pada sebelah petang,” katanya.

Beliau berkata, liputan media hanya dibenarkan mulai hari ini ketika majlis perasmian.

Nor Azariza berkata, muktamar itu dijangka memberi tumpuan kepada penyatuan ummah dan kerjasama antara PAS dan UMNO, selaras dengan tema yang diketengahkan.

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Mersing, Hasnul Hakimi Hussein berkata, perbincangan malam tadi merangkumi laporan persidangan sebelum ini dan beberapa usul.

Beliau berkata, perpaduan dalam kalangan orang Melayu perlu diperkukuh bagi melindungi masyarakat dan Islam daripada pengaruh serta unsur luar yang boleh menjejaskan agama.

“Kita perlu terus bersatu kerana kita mahu melindungi orang Melayu dan umat Islam daripada dijajah dan unsur yang boleh menjejaskan Islam,” katanya.

Perwakilan Pemuda PAS Langkawi, Mohd Aliff Bakar berkata, isu semasa yang dibincangkan termasuk penyatuan ummah, pengukuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan sekolah menengah PAS serta penilaian terhadap hala tuju yang dibawa Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib.

Beliau berkata, pendirian Afnan berhubung usaha ke arah penyatuan ummah adalah jelas dan terbuka.

“Fokusnya adalah untuk memperkukuh penyatuan umat Islam dan memastikan Islam terus berkembang dan maju,” katanya.

Mereka ialah sebahagian daripada 727 perwakilan dari 180 bahagian Pemuda PAS di seluruh negara.

Selain Muktamar Pemuda PAS, Dewan Ulama PAS dan Dewan Muslimat PAS masing-masing akan mengadakan muktamar di Kota Bharu dan Bachok, hari ini.

Muktamar PAS Pusat pula, yang dijangka menarik lebih 30,000 perwakilan, pemerhati, ahli, penyokong dan pengunjung akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dijadual menyampaikan ucapan dasar beliau pada Jumaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top