Drama Madu Atau Racun perlu disunting semula FINAS

puterialia@hmetro.com.my

Hulu Kelang: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memutuskan kesemua 12 episod drama Madu Atau Racun perlu disunting semula dan dikemukakan kembali kepada panel penilai untuk penilaian lanjut sebelum dibenarkan untuk disiarkan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya turut meminta supaya enam episod yang sudah bersiaran diturunkan terlebih dahulu buat sementara waktu sehingga proses suntingan selesai dan mendapat keputusan rasmi.

Menurutnya, walaupun episod ketujuh dan kelapan dijadualkan tayangannya pada Jumaat ini, siaran itu tertakluk kepada kelulusan selepas suntingan dibuat.

“Kita memohon iQIYI menurunkan dahulu supaya tidak boleh ditonton keenam-enam episod tersebut sehingga kesemua 12 episod telah dibuat suntingan baru dan dapat kelulusan.

“Jikalau iQIYI dapat lakukan suntingan tu secepat mungkin, mungkin kita boleh benarkan mereka menayangkan balik,” katanya ketika ditemui di Sesi Pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama pemain industri di pejabat FINAS, Hulu Kelang, di sini, hari ini.

Ketika mengulas mengenai isu sudut pandangan platform penstriman itu yang mungkin menganggap perkara terbabit sebagai perkara biasa memandangkan iQIYI berasal dari China, Azmir berkata ia tetap perlu dihalusi mengikut kesesuaian tempatan.

Dalam sesi pertemuan berkenaan, pihak iQIYI dan penerbit turut memohon maaf, serta akur untuk mengikuti nasihat panel bagi mencari titik pertemuan dalam menyelesaikan isu terbabit.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka kerana bekerjasama dalam isu ini, kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat umum dan kita tahu bahawa setiap daripada kita orang industri dan yang terlibat ni ada tanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam sesi pertemuan berkenaan, turut hadir wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top