DAMSYIK: Badan amal pembersihan periuk api memberi amaran bahan letupan sisa perang yang belum meletup (UXO) menyebabkan seorang mangsa dikenalpasti setiap enam jam di Syria.
Sejak penggulingan pemerintahan Syria Bashar al-Assad pada Disember 2024, organisasi antarabangsa yang diketuai Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS) berkata, insiden melibatkan UXO mengorbankan atau mencederakan sekurang-kurangnya 2,375 orang, termasuk lebih 850 kanak-kanak.
Namun, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Sepanjang lebih 13 tahun perang, pelbagai pihak menanam periuk api dan alat letupan di beberapa kawasan di seluruh negara, mewujudkan cabaran besar yang berbahaya ketika Syria berusaha memulihkan keadaan dan membangunkan semula negara.
Seorang penduduk, Malakeh Barbour turut mengimbau insiden tragis musim sejuk lalu, ketika anak-anaknya keluar mengutip plastik dan bahan terbuang lain untuk dijadikan bahan bakar bagi memanaskan rumah.
“Tanpa sedar, mereka mengambil satu objek yang ditinggalkan selepas perang. Apabila mereka pulang, objek itu meletup selepas dimasukkan ke dalam pemanas.
“Letupan itu mengorbankan anak lelaki saya, Ahmed, 17, serta mencederakan dua lagi adiknya; Haidar, 10, dan Ghaith, tujuh tahun. Tragedi ini menghancurkan kami,” kata Barbour, 40, kepada AFP dari rumahnya di kawasan luar bandar Damsyik.
Dalam laporan awal yang diterbitkan pada Jun, Pemantau Periuk Api dan Senjata Berangkai berkata, Syria mencatat jumlah mangsa akibat periuk api dan sisa letupan perang tertinggi di dunia tahun lalu, dengan kira-kira 1,600 mangsa.
Tahun ini sahaja, hampir 700 orang menjadi mangsa kemalangan melibatkan bahan letupan di seluruh negara, dengan satu pertiga daripadanya maut. Kanak-kanak pula membentuk satu pertiga daripada keseluruhan mangsa.
Lebih 60 peratus insiden berlaku di kawasan pertanian atau padang ragut dan awal 2025 menyaksikan peningkatan mendadak dalam kemalangan apabila penduduk berpusu-pusu kembali ke komuniti masing-masing selepas kejatuhan Bashar.
