nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad, hadir ke Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS hari ini, yang disifatkannya sebagai satu permulaan baik ke arah pengukuhan kerjasama antara kedua-dua parti.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, ahli jawatankuasa serta wakil Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Almidi Jaafar.
Muktamar pergerakan itu dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Dusuki meluahkan rasa syukur menerima jemputan daripada Dewan Ulama PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan.
Menurutnya, kehadiran itu boleh menjadi permulaan baik kepada usaha mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang, khususnya dalam usaha menyatukan umat Islam.
“Bagi saya, ia satu permulaan baik kepada pengukuhan dan kerjasama dalam menghadapi akan datang. Pada waktu ini penyatuan yang berlangsung amat sesuai kerana sudah terlalu lama kita berkelahi dan berselisih pendapat.
“Selama ini kita hanya berunding dan berunding, muafakat dan muafakat dan kerjasama dalam bentuk itu sahaja. Kita berharap akan datang kerjasama itu dimeterai bukan untuk kepentingan UMNO dan PAS, sebaliknya umat Islam.
“Saya merasakan ijtihad kita buat hari ini adalah amat baik sekali,” katanya.
Kehadiran pimpinan Majlis Ulama UMNO ke Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS itu dilihat membuka ruang kepada usaha memperkukuh kerjasama dan penyatuan antara kedua-dua parti pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
