RAKYAT Malaysia berusia 18 tahun ke atas berpeluang menerima Wafer Emas 999.9 Touch ’n Go Edisi Terhad Touch ’n Go Sdn Bhd (Touch ’n Go) seberat 0.5 gram dengan mengaktifkan Tag RFID Touch ’n Go baharu untuk menyertai Touch ’n Go Golden Journey.
Kempen khas RFID Touch ’n Go yang berlangsung dari 21 Ogos hingga 31 Oktober 2026 itu bersempena Ulang Tahun ke-30 Touch ’n Go.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ’n Go Sdn Bhd, Praba Sangarajoo berkata, sepanjang 30 tahun lalu, Touch ’n Go telah menjadi sebahagian daripada perjalanan harian rakyat Malaysia, daripada rutin berulang-alik ke tempat kerja, perjalanan pulang ke kampung sehinggalah pelbagai detik bermakna dalam kehidupan.
Justeru menurutnya, Golden Journey merupakan tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan Touch ’n Go sejak 30 tahun lalu, di samping mengajak lebih ramai pemandu menikmati kemudahan dan keselesaan penggunaan RFID Touch ’n Go.
“Golden Journey adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah mengembara bersama kami selama ini, sambil mengalu-alukan lebih ramai pemandu untuk merasai kemudahan dan keselesaan RFID Touch ’n Go.
“Wafer emas edisi terhad ini merupakan cenderamata bermakna sempena pencapaian 30 tahun kami dan lambang penghargaan atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang tiga dekad,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kempen tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, termasuk pengguna RFID Touch ’n Go baharu dan sedia ada.
Pelanggan hanya perlu membeli dan berjaya mengaktifkan Tag RFID Touch ’n Go baharu dalam tempoh kempen, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Pelanggan boleh mendapatkan Tag RFID Touch ’n Go baharu melalui mana-mana saluran jualan rasmi bagi menyertai Golden Journey.
Sepanjang kempen tersebut juga, Tag RFID Touch ’n Go standard ditawarkan pada harga promosi istimewa RM30 menerusi TNG Shop, kedai rasmi Touch ’n Go di Shopee, serta TNG Hub di Bangsar South.
Tawaran berkenaan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menyertai kempen ulang tahun sambil menikmati harga istimewa RFID.
Sementara itu, sempena meraikan tiga dekad bersama rakyat Malaysia, Touch ’n Go turut melancarkan video jenama istimewa bertajuk ‘Perjalanan Kita | 30 Tahun Bersama Touch ’n Go’, yang mengangkat kisah perjalanan harian serta detik-detik bermakna yang telah membentuk sejarah jenama tersebut sepanjang tiga dekad.
Video tersebut boleh ditonton meneberikut: https://youtu.be/5sAbN2-dmMU?si=teiltRGNfBu7cjnK
