GEORGE TOWN: Pulau Pinang muncul negeri peneraju dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan di Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan nilai RM17.3 bilion, meningkat 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah tersebut menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan pelaburan pembuatan yang diluluskan di negara ini bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan serta daya tahan ekosistem perindustrian Pulau Pinang meskipun berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.
”Prestasi pelaburan Pulau Pinang yang kukuh pada enam bulan pertama tahun ini mencerminkan kekuatan dan daya tahan ekosistem perindustrian negeri yang telah lama bertapak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, daripada jumlah RM17.3 bilion itu, sebanyak RM12.8 bilion atau 74 peratus merupakan pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus menjadikan Pulau Pinang penyumbang terbesar FDI sektor pembuatan di Malaysia dengan 39 peratus daripada keseluruhan FDI pembuatan negara.
”Hong Kong, Singapura, China dan Amerika Syarikat menjadi antara pelabur utama yang secara kolektif menyumbang 77 peratus daripada keseluruhan FDI pembuatan yang diluluskan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, pelaburan langsung domestik (DDI) mencatatkan RM4.5 bilion, meningkat 125 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan keyakinan serta pengembangan pelaburan oleh syarikat tempatan.
Kon Yeow berkata, sebahagian besar aktiviti pelaburan tertumpu kepada sektor yang menjadi keutamaan negeri iaitu elektrik dan elektronik (E&E) serta mesin dan peralatan (M&E) yang secara keseluruhannya menyumbang 88 peratus daripada jumlah pelaburan pembuatan diluluskan.
”Projek pengembangan menyumbang RM11.9 bilion atau 69 peratus daripada keseluruhan pelaburan, manakala projek baharu mencatatkan RM5.4 bilion atau 31 peratus.
”Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Pulau Pinang bukan sahaja untuk menubuhkan operasi baharu, malah mengembangkan lagi kehadiran sedia ada,” katanya.
Katanya, keseluruhan pelaburan itu melibatkan 177 projek yang dijangka mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.
”Sebahagian besar pelaburan yang diluluskan juga dijangka membantu Pulau Pinang merebut peluang daripada perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperkukuh keupayaan negeri itu di sepanjang rantaian nilai AI,” katanya. –UTUSAN

