Angin kuat, arus deras kombinasi berbahaya di Pantai Tanjung Lompat

KOTA TINGGI: Perubahan cuaca ke fasa monsun timur laut menjadikan Pantai Tanjung Lompat, di sini sebagai kawasan merbahaya untuk aktiviti pantai khususnya buat mereka yang kurang pengetahuan berhubung bentuk muka bumi pantai berkenaan.

Pengusaha sukan luncur air, Ahmad Syahir Muhammad Zainudin, 49, berkata kombinasi angin dan pergerakan pasang surut air menghasilkan arus deras mampu menarik orang sedang mandi ke arah laut.

“Ramai tidak tahu bahawa permukaan dasar pantai ini mempunyai struktur seperti ‘longkang’ sebelum cetek semula, kemudian landai ke dalam lautan.

“Apabila angin selatan bertiup dan melepasi kawasan berbatu, ia membentuk pergerakan arus yang sangat kuat dan menarik apa sahaja di atasnya ke arah laut lepas.

“Bukan itu sahaja, keadaan geografi di kawasan teluk turut membentuk pusaran air setempat. Walaupun ia tidak menyedut ke dasar, pusaran ini sudah cukup untuk membuatkan perenang yang panik hilang kawalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pantai Tanjung Lompat, di sini hari ini.

Tambahnya, situasi berkenaan biasanya berlarutan dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja, namun keadaan cuaca tahun ini agak luar biasa apabila ombak besar dan arus kuat masih berlarutan sehingga lebih sebulan.

“Fenomena ini turut menyebabkan komuniti nelayan khususnya yang menggunakan bot kecil menghentikan sementara aktiviti menangkap ikan demi keselamatan diri dan peralatan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung kejadian lemas yang meragut nyawa empat remaja berusia 16 tahun, Ahmad Syahir berkata, insiden berkenaan dipercayai merupakan kali pertama kejadian lemas berlaku di pantai tersebut.

“Orang awam biasanya kurang mahir mengenai keadaan laut yang berbahaya seperti ini. Kehadiran komuniti ‘surfer’ di kawasan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan sekitar.

“Kemahiran komuniti luncur air membaca pergerakan arus laut membolehkan kita bergerak pantas sekiranya berlaku insiden seperti ini. Kawasan ini tempat kita menumpang, jika ada komuniti surfer di sini, kita boleh bantu,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top