PETALING JAYA: Setiap siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaksanakan secara adil, telus dan berani tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, langkah ini penting bagi memastikan imej, reputasi serta wibawa SPRM selaku agensi penguatkuasaan negara kekal terpelihara daripada sebarang persepsi negatif masyarakat.
Katanya, usaha mempertahankan integriti dan kekal berprinsip tinggi akan sentiasa menjadi keutamaan warga SPRM agar kepercayaaan masyarakat terhadap organisasi ini tidak terhakis.
“SPRM perlu bertindak sebagai sebuah entiti yang berani dan bebas daripada sebarang tekanan atau rasa.
“Setiap siasatan dijalankan secara adil dan telus tanpa melepaskan mana-mana pihak yang terlibat sekali gus mempertahankan keutuhan organisasi supaya tidak tercemar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan strategik semasa kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Pejabat YB Menteri, Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.
Dalam pertemuan hampir sejam berkenaan, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai isu-isu perundangan serta inisiatif SPRM dalam memperkukuh agenda antirasuah negara.
Kunjungan hormat tersebut merupakan sebahagian daripada siri pertemuan strategik beliau selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 13 Mei lalu. –UTUSAN

