TEHERAN: Agensi berita Iran, Tasnim pada Khamis melaporkan bahawa enam anggota pasukan tentera laut Iran terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) ketika pertempuran kembali tercetus minggu ini.
Laporan itu berkata, keenam-enam anggota berkenaan terbunuh dalam satu gelombang serangan AS pada Selasa, tanpa menyatakan lokasi mereka terbunuh.
“Dalam serangan jenayah yang dilakukan oleh tentera pengganas AS dua malam lalu, pada 1 September, di selatan negara ini, enam anggota Tentera Laut Republik Islam Iran telah gugur syahid,” menurut laporan itu.
Sekurang-kurangnya 19 rakyat Iran terbunuh pada Selasa dan Rabu, menurut media rasmi, dalam serangan pengeboman besar-besaran AS di seluruh Iran.
Tujuh orang terbunuh di wilayah Khuzestan di barat daya negara itu, manakala empat anggota Pengawal Revolusi Islam Iran terkorban di wilayah Kermanshah, lapor media Iran.
Tiga anggota pasukan separa tentera terbunuh di Pulau Lavan di Teluk, manakala seorang lagi terbunuh di wilayah Fars, menurut laporan itu.
Pegawai dan media Iran turut menyalahkan serangan berkenaan atas kematian empat orang dalam sebuah majlis perkahwinan di wilayah Hormozgan.
Belum dapat dipastikan dengan segera sama ada enam anggota tentera laut itu termasuk dalam tujuh orang yang sebelum ini dilaporkan terbunuh di Khuzestan. – AFP
