Markas PPM Wilayah Tiga Tok Bali perkukuh keupayaan operasi pasukan

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Pembinaan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali bernilai RM80.01 juta bakal memperkukuh keupayaan operasi pasukan itu terutamanya dalam mengawal keselamatan perairan timur negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan baharu itu akan meningkatkan keupayaan polis untuk menangani pelbagai ancaman, termasuk penyeludupan dadah, pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan lain.

“Dengan kemudahan yang lebih baik, moral anggota polis kita juga akan lebih tinggi, sekali gus memberikan impak signifikan terhadap pelaksanaan tugas mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek berkenaan di Tok Bali di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Saifuddin berkata, peningkatan tahap keselamatan di laut akan memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti Tok Bali dan kawasan sekitarnya.

“Ini penting terutamanya bagi komuniti nelayan yang sumber pendapatan mereka bergantung kepada keselamatan perairan.

“Kami yakin komuniti akan rasa lebih selamat. Apabila projek ini siap dan beroperasi kelak, ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memutuskannya sebagai keutamaan terhadap keselamatan rakyat,” katanya.

Projek itu dibangunkan sejak 2021 dan siap sepenuhnya pada Jun lalu serta dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang November ini.

Ia menyediakan kemudahan operasi yang lengkap merangkumi bangunan pentadbiran, rumah bot, bengkel mekanikal, jeti, bengkel dan pejabat kenderaan, pondok kawalan, stor amunisi serta pelbagai kemudahan sokongan operasi yang lain.

Markas PPM turut dilengkapi 82 unit kuarters kediaman anggota, taska dan tadika, surau yang mampu memuatkan 200 jemaah, dewan serbaguna serta mes pegawai.

Saifuddin berkata, kebajikan anggota polis yang bertugas dan ahli keluarga mereka diberi perhatian dalam membangunkan markas berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top