Kuala Lumpur : Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan persembahan gergasi apabila tiga diva tersohor Indonesia iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya, dan Titi DJ kembali disatukan menerusi konsert 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS] di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 22 November depan.
Penjualan tiket konsert anjuran T-Rex Studio Sdn Bhd ini akan bermula secara rasmi jam 12 tengah hari esok menerusi platform MAISEAT.
Pengarah Urusan T-Rex Studio, Audrey Wan Yuen Theng berkata, konsert bertema “Three Voices. One Legacy.” ini diadakan sempena meraikan genap dua dekad penubuhan trio berkenaan sejak 2006.
“Kris Dayanti, Ruth Sahanaya, dan Titi DJ mempunyai hubungan yang cukup istimewa dengan peminat di Malaysia.
“Menerusi TIMELESS, kami mahu membawakan perayaan nostalgia dan meraikan legasi dua dekad perjalanan muzik mereka,” katanya.
Bagi menghargai peminat tempatan, pihak penganjur menawarkan pelbagai keistimewaan dan promosi menarik seperti Promosi Early Bird (5 – 19 September 2026) meliputi penjimatan sehingga RM100 ditawarkan untuk lima kategori tiket (CAT 1 hingga CAT 5) dengan harga permulaan serendah RM138 sehingga RM598.
Selain pakej Bundle “Semua Jadi Satu” di mana pembelian minimum empat tiket kategori VIP ditawarkan pada harga RM798 setiap satu (berbanding harga asal RM898).
Peminat juga berpeluang merasai pengalaman akses eksklusif apabila pemegang tiket kategori SVIP (RM1,098) dan VIP (RM898) berpeluang menikmati sesi Hi-Bye, Sound Check, sesi foto (1:1 atau 1:20 menerusi cabutan), poster bertandatangan, serta akses ke After Party eksklusif.
Keseluruhannya, tujuh kategori tempat duduk disediakan iaitu SVIP (RM1,098), VIP (RM898), CAT 1 (RM698), CAT 2 (RM498), CAT 3 (RM398), CAT 4 (RM298), dan CAT 5 (RM238) (harga tidak termasuk yuran tempahan).
Kali terakhir 3DIVA mengadakan konsert berskala besar di Malaysia adalah pada tahun 2007, sekali gus menjadikan kemunculan semula mereka di Kuala Lumpur selepas hampir dua dekad ini sebagai antara acara paling dinantikan tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

