'Hanya perlu dua minit larikan kenderaan'

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket curi kenderaan semakin terancang dan bersasar di mana mereka akan mengenal pasti jenis kenderaan mempunyai nilai dan permintaan di pasaran sebelum melarikannya dalam tempoh singkat sekitar dua ke lima minit dengan menggunakan peralatan elektronik khusus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, berdasarkan siasatan dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sindiket lazimnya mengenal pasti terlebih dahulu jenis kenderaan yang mempunyai nilai dan permintaan pasaran sebelum melakukan jenayah curi terhadap sasaran itu.

“Dalam beberapa kes, sindiket turut menggunakan kenderaan sewa dan peralatan elektronik tertentu bagi membantu kegiatan mereka.

“Malah terdapat kes di mana penjenayah mampu melarikan sesebuah kenderaan dalam tempoh yang singkat sekitar dua hingga lima minit,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil risikan dan beberapa kejayaan PDRM menumpaskan sindiket, terdapat penggunaan peralatan elektronik khusus untuk mendapatkan akses kepada sistem keselamatan kenderaan.

“Antaranya termasuk peranti yang mempunyai keupayaan untuk memprogram atau menghasilkan kunci kenderaan bergantung kepada jenis dan sistem keselamatan sesebuah kenderaan.

“Ini menunjukkan bahawa kaedah kecurian kenderaan turut berubah seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, destinasi sesebuah kenderaan curi bergantung kepada jenis kenderaan dan tujuan sindiket.

“Bagi motosikal dan lori, sebahagiannya dibawa ke bengkel atau stor haram untuk dileraikan sebelum komponen dan alat gantinya dijual.

“Bagi kereta, terdapat tiga corak utama yang dikenal pasti. Pertama, kenderaan diubah suai termasuk perubahan pada identiti kenderaan sebelum dijual semula.

“Kedua, kenderaan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti dan ketiga, terdapat kenderaan tertentu yang diseludup keluar dari Malaysia termasuk ke Thailand,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PDRM menasihatkan pemilik supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem keselamatan asal kenderaan.

“Sebaliknya gunakan beberapa lapisan keselamatan sebagai langkah pencegahan. Antaranya parkir di kawasan yang terang dan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) atau kawalan keselamatan, gunakan peralatan tambahan seperti pengunci stereng, pengunci pedal atau penjejak Sistem Penentududukan Global (GPS).

“Pastikan kenderaan sentiasa dikunci dan jangan sesekali meninggalkan enjin hidup tanpa pengawasan. Bagi kenderaan yang menggunakan kunci pintar, pemilik juga perlu memastikan kunci disimpan di tempat yang selamat serta mengaktifkan fungsi pengesanan dan notifikasi sekiranya tersedia.

“Sindiket mungkin menggunakan teknologi, tetapi langkah keselamatan tambahan dan kewaspadaan pemilik masih menjadi benteng pertama dalam mencegah kecurian kenderaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top