Seoul: Sebanyak 25 klinik pembedahan plastik dan dermatologi di ibu negara Korea Selatan didapati melanggar peraturan pengurusan sisa perubatan, termasuk dua kes membabitkan lemak dan darah manusia daripada prosedur kosmetik dibuang ke dalam singki dan tandas, menurut Kerajaan Metropolitan Seoul pada 3 September.
Memetik The Korea Herald, Polis Kehakiman Khas Seoul menyiasat, 120 lokasi membabitkan 112 klinik perubatan dan lapan syarikat kutipan serta pengangkutan sisa dari Januari 2025 hingga Julai 2026.
Hasil siasatan itu menemukan 36 pelanggaran di 25 klinik berkenaan.
Dalam dua kes pelupusan haram, lemak dan darah manusia daripada prosedur sedut lemak serta prosedur kosmetik lain dituangkan ke dalam singki atau tandas.
Media turut melaporkan, sisa perubatan turut dibuang ke dalam tong sampah biasa bersama sisa isi rumah.
Pelanggaran lain membabitkan penyimpanan tidak betul apabila sesetengah klinik mencampurkan sisa tisu manusia dengan sisa perubatan am dan menyimpannya pada suhu bilik sebelum diserahkan untuk dilupuskan.
Sesetengah klinik lain pula menyimpan sisa perubatan selama tiga hingga enam bulan melebihi tempoh yang dibenarkan.
Dalam pada itu, darah, cecair badan, jarum terpakai dan sisa perubatan lain perlu dikendalikan secara berasingan kerana risiko jangkitan, manakala sisa tisu manusia termasuk lemak mesti disimpan dalam bekas khas pada suhu empat darjah Celsius atau lebih rendah.
Seorang pegawai Biro Polis Kehakiman Khas Seoul berkata, sisa tisu manusia boleh mereput dengan cepat pada suhu bilik, sekali gus meningkatkan bau dan risiko jangkitan.
Penyiasat mendakwa, 25 individu berhubung pelanggaran berkenaan dan merujuk mereka kepada pendakwa raya pada Ogos dengan cadangan supaya pertuduhan dikenakan.
Menurut pihak bandar raya, pelanggaran piawaian pelupusan sisa perubatan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga 20 juta won (kira-kira RM59,486).
Siasatan turut mendapati, sesetengah doktor, jururawat dan pekerja pengendalian sisa tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai keperluan pelupusan.
Difahamkan, penemuan itu berlaku ketika pelancongan perubatan ke Seoul meningkat dengan 1.76 juta pesakit asing menerima rawatan di bandar raya itu pada 2025, jumlah rekod yang meningkat 75.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

