KOTA BHARU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan isu rasuah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menjatuhkan pihak lawan, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
Menurut beliau, tindakan terhadap kesalahan rasuah perlu dilaksanakan secara adil dan tidak bersifat terpilih.
“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
“Keadaan ini berlaku apabila tindakan diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, sama ada melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah mahupun perantara yang mengatur urusan rasuah,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa di Kota Bharu pada Jumaat. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Abdul Hadi memberitahu, pihaknya amat menyesali kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berlaku ketika ini.
Jelasnya, perkara tersebut seharusnya dibawa ke mahkamah, bukannya bahan untuk dibicarakan di media ataupun di pentas politik.
“Tidak dinafikan berlakunya kepincangan dalam pengurusan dana awam dan GLC yang amat kita kesali.
“Ia perlu dibawa ke mahkamah apabila cukup bukti, bukannya dibicarakan di media ataupun di pentas politik,” katanya.
Ujar beliau, apatah lagi apabila ia menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Dalam pada itu Abdul Hadi memberitahu, kedudukan Islam dan umatnya akan berada dalam keadaan paling berbahaya apabila berada dalam pemerintahan yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam.
Katanya, lebih membimbangkan, kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan paling berbahaya apabila berada dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam dan menjadi ancaman kepada maqasid al-syariah.
“Maka, tindakan bertujuan menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan,”katanya.