am@hmetro.com.my
Kota Bharu: PAS menegaskan keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu tidak dibawa ke Kabinet.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pada masa sama, pihaknya juga tidak pernah menerima Kertas Kabinet atau Memorandum Jemaah Menteri berkaitan keputusan yang dibuat.
Beliau berkata, isu judi yang menetapkan berapa kali cabutan di bawah Kementerian Kewangan ketika Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada masa itu.
“Menteri lain tidak mempunyai maklumat mengenai keputusan berkenaan sekiranya ia tidak dibawa untuk pertimbangan Kabinet.
“Saya ingat perkara itu tidak pun dibawa ke Kabinet, hanya di peringkat Kementerian Kewangan.
“Kami menteri lain dan bila tak dibawa ke Kabinet, kami tidak ada maklumat. Bila dah keluar berapa kali itu, barulah kami buat teguran dan benda itu sudah diputus bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu adalah tanggungjawab bersama Jemaah Menteri, termasuk menteri daripada PAS pada ketika itu.
Tengku Zafrul yang kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri dilaporkan berkata, cabutan khas bukan perkara baharu, sebaliknya diperkenalkan sejak 1999, malah had siling 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Isu cabutan khas nombor ramalan kembali dibangkitkan berikutan dakwaan dan pertikaian mengenai kewajaran menaikkan jumlah cabutan itu ketika pandemik Covid-19.
Selepas menerajui pentadbiran pada Disember 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah cabutan khas itu diturunkan semula daripada 22 kali kepada lapan kali setahun bermula 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd
