redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Bulu roma saya meremang, terkejut dan sedih sangat selepas dapat tahu kejadian sebenar kerana saya yang buat pesanan itu,” kata wanita dikenali Fathin Aleya.
Fathin Aleya, 27, mendapat perhatian selepas berkongsi di media sosial tangkap layar mesej dihantar kepada seorang penunggang p-hailing yang tidak dibalas.
Apa yang menyedihkan, mesej itu bukan tidak dibalas kerana penunggang p-hailing itu melarikan diri namun kerana dia sudah meninggal dunia dipercayai selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menceritakan kisah itu, Fathin Aleya yang bekerja sebagai eksekutif kewangan berkata, dia membuat pesanan cop jam 10.30 pagi semalam dan penunggang p-hailing berkenaan yang sepatutnya membuat penghantaran.
“Penghantaran itu dari Shah Alam, Selangor ke pejabat saya dekat Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
“Selepas buat pesanan, saya sambung buat kerja macam biasa dan selepas satu jam, saya pelik kenapa barang dipesan masih tidak sampai malah lokasi yang memaparkan pergerakan penunggang juga tidak bergerak.
“Tapi saya fikir positif kerana fikir mungkin penunggang berkenaan menunggu pesanan lain jadi sambil menunggu, saya bersembang dengan kawan sekerja.
“Kemudian, saya mesej penunggang berkenaan tapi tak dibaca dan dibalas. Saya tunggu lagi sehingga dua jam dan mendapati lokasi masih sama jadi waktu itu sudah berasa tak sedap hati,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fathin Aleya, dia tidak marah namun menceritakan apa yang berlaku kepada rakannya.
“Selepas ceritakan hal itu, kawan saya buat andaian penunggang berkenaan terbabit dalam kemalangan dan minta hubunginya.
“Panggilan pertama tidak dijawab…selepas itu, kawan saya cuba hubungi kemudian seorang individu tak dikenali mengangkat panggilan dan beritahu penunggang itu kemalangan serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tergamam saya dibuatnya dan kemudian, saya mesej di ruangan dekat aplikasi e-hailing berkenaan kerana tiada nombor telefon bahagian khidmat pelanggan.
“Selepas beberapa minit, syarikat e-hailing berkenaan menghubungi saya untuk mendapatkan keterangan,” katanya.
Berhubung perkongsiannya yang mendapat perhatian ramai, Fathin Aleya berkata, niatnya adalah mencari waris kerana belum dapat dihubungi ketika itu.
Tanpa disangka, hantaran dimuat naiknya mendapat perhatian hingga ada juga segelintir warganet berkongsi hal sebenar.
“Setakat ini, hanya rakan terdekat arwah saja yang menghubungi saya dan belum menerima panggilan daripada ahli keluarganya.
“Walaupun tak mengenalinya, saya doakan arwah ditempatkan dalam kalangan yang beriman.
“Bagi saya, kerja sebagai penunggang p-hailing berisiko malah mereka sangat gigih bekerja walaupun hujan panas, penat, kena marah atau jauh sekalipun tetap ambil dan hantar pesanan dengan sabar.
“Jadi untuk semua yang buat pesanan, minta bersabar walaupun kena tunggu lama kerana kita tak tahu apa jadi di jalan raya dan doakanlah keselamatan mereka.
“Untuk penunggang pula, jaga diri dan jangan kejar trip sampai abaikan keselamatan kerana rezeki boleh dicari tapi nyawa tiada ganti.
“Semoga sentiasa dalam lindungan Allah SWT walau di mana saja berada,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




