am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 130 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat penipuan dalam talian di Rawalpindi, Pakistan, yang dipercayai menyasarkan rakyat Malaysia sendiri.
Memetik laporan portal berita Pakistan, ProPakistani, Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA) menyerbu sebuah premis di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII, selepas memperoleh waran mahkamah.
Menurut laporan itu, pemeriksaan terhadap peranti digital dan peralatan di premis berkenaan mendapati lokasi itu dipercayai digunakan untuk menjalankan penipuan kewangan terhadap rakyat Malaysia.
“Suspek menghubungi rakyat Malaysia melalui aplikasi panggilan telefon internet dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank.
“Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya terdapat transaksi mencurigakan atau tidak dibenarkan dalam akaun bank mereka,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan menyebut, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis Malaysia.
Menurutnya, sebahagian suspek turut didakwa memakai pakaian seragam polis dan menggunakan latar belakang menyerupai pejabat ketika membuat panggilan video.
“Mangsa diugut dengan dakwaan pengubahan wang haram, kes jenayah dan tindakan undang-undang sebelum didesak memindahkan wang.
“Wang hasil penipuan dipercayai diterima melalui Touch ‘n Go eWallet sebelum ditukar kepada mata wang kripto menerusi beberapa saluran,” menurut laporan itu.
Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai dikendalikan seorang rakyat Malaysia yang beroperasi dari Kemboja.
Menurut laporan itu, individu berkenaan didakwa mengarahkan operasi dari luar negara dengan bantuan penyelia dan pengurus pusat panggilan di Pakistan.
Seorang warga China yang dipercayai menerima mata wang kripto daripada sindiket sebelum menukarkannya kepada wang tunai Pakistan turut dikenal pasti dalam siasatan.
Menurut ProPakistani, pihak berkuasa Pakistan menyenaraikan 130 individu bersama butiran pasport masing-masing dalam laporan polis berhubung kes itu.
Laporan berkenaan menyebut, kesemua 130 individu yang ditahan ialah rakyat Malaysia.
Ada di antaranya turut dilaporkan mempunyai visa yang sudah tamat tempoh dan disyaki berada di Pakistan tanpa dokumen imigresen yang sah.
Bagaimanapun, status imigresen dan peranan sebenar setiap individu masih tertakluk kepada siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13, 14 dan 16 Akta Pencegahan Jenayah Elektronik Pakistan 2016, yang dipinda pada 2025 selain peruntukan Kanun Keseksaan berkaitan pemerasan, penyamaran, penipuan dan persubahatan.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa masih menyiasat peranan individu yang mengendalikan sindiket dari luar negara, penyelia tempatan dan mereka yang menguruskan transaksi kewangan.
Jumlah kerugian mangsa, bilangan mangsa yang disahkan serta nilai wang yang dirampas dalam operasi itu belum dinyatakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




