mohamadridzuan@hmetro.com.my
Subang Jaya : Pelakon Datuk Den Wahab menyeru netizen menghormati penggiat seni yang meninggal dunia ketika mengadakan persembahan seperti yang terjadi kepada Allahyarham Radzi Melissa, Raja Azreen dan terbaru Joey BPR.
Den atau nama sebenarnya Zaharudin Abdul Wahab, 63, berkata, dia kecewa apabila netizen menghukum dan menulis perkataan tidak sepatutnya tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Apa yang saya baca, komen-komen netizen ini memang buat kita jadi sakit hati. Sebab apa, baru-baru ini yang berlaku pada Joey BPR itu, depan mata saya.
“Sebelum arwah Joey menyanyi, dia banyak bagi nasihat, bagi kata-kata yang baik, tahu tak? Dah sampai ajal dia meninggal, walau di mana pun kena terima.
“Sekurang-kurangnya kan… kita tak tahu apa yang Allah pandang pada dia. Mungkin kebaikan dia dan lain-lain. Tapi netizen ini bila tengok benda itu, mulalah buat naratif masing-masing,” kata Den ditemui ketika hadir mengiringi isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis dalam Program Sumbangan Santunan Kasih Ayahanda Bonda, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi & Datin Seri Hamidah Khamis untuk M Jamil di kediamannya di sini, semalam.
Menurutnya, netizen sering menghentam golongan artis, namun mereka tidak mengetahui kesusahan artis terbabit.
“Kamu tahu kah? Dia itu tak makan, dia itu tak bayar sewa rumah, tak bayar bil elektrik. Dia kalau ada duit, dia tak buat show lah. Lebih baik dia duduk rumah goyang kaki.
“Sebab dia nak mencari nafkah lah untuk dia, untuk anak bini. Kalau ikut umur, memang kalau ada duit lebih untuk dia meneruskan kehidupan, dia duduk rumah goyang kaki, tak perlu nak menyanyi lagi.
“Tetapi, disebabkan tanggungjawab dia sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah untuk anak-anak, maka dia buat,” katanya.
Tambah Den, seperkara lagi, apabila artis-artis pada usia ini diundang membuat persembahan, ia ibarat terapi kepada mereka.
“Inilah semangat yang kadang kala bila dia sakit itu jadi baik. Semangat dia ‘on stage’ dan berjumpa dengan kawan-kawan lama.
“Ambil contoh Joey, apa yang kawan-kawan lama semua cakap, dia baik, banyak bantu orang. Itu yang patut netizen tengok! Kan? Jadikan benda ini satu doa untuk dia agar rohnya dia dicurahi rahmat,” katanya.
Ujarnya lagi, doakan Allah ampunkan segala dosa arwah dan mereka yang bukannya mengutuk dengan kata-kata yang tak baik. Kita ada agama. Saya selalu tengok, artis sering nampak tak baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
