am@hmetro.com.my
Gua Musang: Penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik, di sini, hidup dalam ketakutan apabila kumpulan gajah liar yang kerap berkeliaran di penempatan mereka didapati semakin bertambah.
Penduduk mendakwa terdapat hanya dua gajah liar kerap berkeliaran di kawasan itu sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Pasik, Mohd Sani Nahtiman bagaimanapun berkata, bilangan gajah itu meningkat kepada empat ekor kini.
Katanya, hampir setiap hari kelibat ‘abang besar’ itu dapat dilihat penduduk terutama pada awal pagi.
“Kini terdapat empat ekor gajah liar iaitu dua bersaiz dewasa dan dua lagi masih kecil. Kami bimbang sekiranya keadaan ini berterusan.
“Kumpulan gajah liar ini seolah-olah semakin membiak di kawasan penempatan penduduk Orang Asli,” katanya.
Menurutnya, gajah liar itu bukan sahaja berkeliaran di kawasan kebun, malah sudah menghampiri rumah penduduk dan laluan yang digunakan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah.
“Kemusnahan tanaman seperti ubi kayu, keledek dan pisang turut berlaku hampir setiap hari akibat gangguan haiwan berkenaan.
“Penduduk banyak bergantung kepada hasil kebun kecil. Malangnya ia kerap dimusnahkan gajah liar.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dan memindahkan gajah ini sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya ketika ditemui di RPS Pasik, di sini.
Penduduk, Saumell Chimbong, 38, berkata, laporan sudah dibuat pada Julai dan Ogos lalu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Katanya, penduduk berharap tindakan segera diambil untuk memindahkan gajah berkenaan kerana kehadirannya menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk dan murid sekolah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya masih menerima aduan berhubung gajah liar yang mengganggu serta merosakkan tanaman penduduk di kawasan RPS Pasik termasuk kejadian terbaharu membabitkan empat ekor gajah.
Katanya, masalah berkenaan sudah berlarutan lebih dua tahun dan memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh antara agensi berkaitan.
“Sebagai langkah jangka pendek saya menyediakan bantuan beras kepada lebih 300 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan apabila tanaman padi mereka musnah akibat serangan gajah liar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
