AMPANG: Individu yang hanya dipanggil bagi membantu siasatan tidak perlu dipakaikan baju oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang hanya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lain diputuskan.
“Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu. Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju warna apa.
“Tapi setakat ini, saya hormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tak perlulah dikenakan baju oren kerana akan beri persepsi yang berbeza,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, hari ini.
Anwar berkata, agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menjalankan tugas secara adil serta berhemah.
“Ada bukti, teruskan. Tak ada bukti, lepaskan,” katanya.
Isu pemakaian baju oren oleh individu yang direman bukan perkara baharu apabila ia beberapa kali dibangkitkan di Parlimen, termasuk mengenai kesan terhadap maruah dan persepsi awam terhadap individu yang belum disabitkan kesalahan.
Anwar bagaimanapun menegaskan pendiriannya terhadap usaha membanteras rasuah kekal tegas walaupun kerajaan berdepan pelbagai tekanan.
“Selagi saya pegang amanah ini, kita akan terus bersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya. –UTUSAN

