mhafis@mediaprima.com.my
Serdang: Niat sepasang suami isteri mencari pendapatan sampingan dengan menjadi ejen platform e-dagang bertukar mimpi ngeri selepas terjerat penipuan sehingga mengalami kerugian lebih RM60,000.
Wanita warga China ingin dikenali Huang, 45, yang juga isteri kepada rakyat Malaysia itu berkata, mereka tertarik dengan iklan peluang menjadi ejen platform e-dagang di media sosial, 23 Julai lalu.
Menurutnya, mereka kemudian menghubungi pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan sembang yang mempunyai 42 ahli.
Katanya, suspek menawarkan peluang menjadi ejen dengan konsep mangsa perlu mendahulukan bayaran bagi barangan yang ditempah pelanggan selain menguruskan penghantaran sebelum memperoleh keuntungan daripada perbezaan harga.
“Keuntungan yang diperoleh akan dipaparkan dalam aplikasi dan mereka menjanjikan semua keuntungan boleh dikeluarkan setiap 15 hari.
“Mereka turut mendakwa platform itu akan membantu mendapatkan trafik secara percuma menyebabkan saya menerima antara 50 hingga 80 pesanan setiap hari dan terpaksa mendahulukan wang dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Huang berkata, apabila dia cuba mengeluarkan keuntungan, pihak berkenaan mendakwa mereka menghadapi masalah aliran tunai dan memintanya terus membuat bayaran bagi pesanan baharu.
“Disebabkan mahu mengeluarkan wang yang dikatakan sudah diperoleh, saya terpaksa membuat pinjaman daripada along untuk meneruskan bayaran.
“Bagaimanapun selepas bayaran dibuat, mereka pula mendakwa sebuah bank di Singapura mengesan transaksi keuntungan yang luar biasa menyebabkan pengeluaran wang disekat,” katanya.
Lebih mengejutkan, katanya, mereka kemudian meminta dia membayar cukai sebanyak AS$5,000, (RM20,217) sebelum wang berkenaan kononnya boleh dikeluarkan.
Menyedari sesuatu yang tidak kena, Huang enggan membuat bayaran tambahan dan mula mendapatkan maklumat daripada pihak lain sebelum mendapati dirinya dipercayai terjerat dalam penipuan.
Dia kemudian bersemuka dengan pihak berkenaan untuk mendapatkan penjelasan, namun selepas penipuan mereka terbongkar, suspek bukan sahaja mencabar mangsa supaya membuat laporan polis, malah terus mengeluarkannya daripada kumpulan sembang sebelum memutuskan semua hubungan.
Menurut Huang, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan percaya dua individu terbabit masih aktif memperdayakan mangsa lain.
Huang berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran menjadi ejen platform e-dagang yang menjanjikan keuntungan mudah terutama apabila diminta mendahulukan wang atau membuat bayaran tambahan sebelum keuntungan boleh dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

