ALOR SETAR – UMNO perlu berani membersihkan persoalan yang timbul daripada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sekiranya benar-benar mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan supaya PRU16 diadakan lebih awal tidak seharusnya dijadikan ‘tirai’ untuk menutup persoalan berkaitan RCI Tabung Haji yang masih memerlukan penjelasan.
Menurutnya, beliau bersetuju rakyat akhirnya perlu diberikan peluang menentukan mandat politik melalui pilihan raya, namun perkara berkaitan amanah dan simpanan pendeposit Tabung Haji tidak boleh diketepikan atas faktor politik.
“Kalau UMNO benar-benar mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat, maka UMNO juga harus berani membersihkan namanya daripada sebarang persoalan yang timbul daripada laporan RCI Tabung Haji.
“Ini bukan soal menyerang UMNO. Ini soal maruah politik dan amanah kepada pendeposit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian bahawa PRU16 lebih baik diadakan lebih awal, iaitu sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah berkenaan akan membolehkan mandat mentadbir kerajaan Persekutuan diperoleh kembali daripada rakyat.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik sebaliknya membabitkan wang, simpanan dan masa depan jutaan pendeposit.
Sehubungan itu, beliau menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan mahkamah supaya melaksanakan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing berhubung perkara yang mempunyai asas undang-undang berkaitan RCI berkenaan.
Katanya, siasatan, keputusan pendakwaan dan prosiding undang-undang perlu dilaksanakan dengan segera, telus serta tanpa pilih kasih.
“Jangan dilengahkan. Jangan dilindungi. Jangan dipolitikkan. Jika ada kesalahan, dakwa. Jika tidak cukup bukti, jelaskan. Jika seseorang tidak bersalah, bersihkan namanya. Itulah keadilan,” ujarnya.
Mahfuz berkata, rakyat khususnya pendeposit Tabung Haji berhak mengetahui perkembangan berkaitan persoalan yang timbul daripada laporan RCI berkenaan.
Menurutnya, pendeposit Tabung Haji juga merupakan pengundi yang mempunyai hak untuk membuat penilaian terhadap pihak yang dipercayai menjaga amanah mereka.
“Kalau mahu mandat baharu daripada pengundi, mengapa takut pengundi mengetahui kebenaran mengenai mandat lama.
“Kalau benar tidak bersalah, hadap dan bersihkan nama. Kalau ada kesalahan, biarkan mahkamah menentukan. Tetapi jangan harap masa dan pilihan raya akan menguburkan persoalan RCI,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, PRU menentukan pihak yang memerintah, manakala mahkamah menentukan sama ada seseorang bersalah atau sebaliknya.
