Sibu: Suspek lelaki berusia 49 tahun dalam kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai dikelar di Jalan Rantau Panjang Jaya di sini, direman selama enam hari lagi bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman sehingga 10 Sept itu, dikeluarkan Majistret Romario Jonoi di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Suspek sebelum ini direman selama enam hari bermula 29 Ogos bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari pada 28 Ogos, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dikelar pada bahagian leher oleh suspek yang juga bapa saudaranya.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebelum ini berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis menahan suspek dan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut dirampas di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

