PTPTN salur Wang Pendahuluan Pinjaman RM1,500 kepada 26,457 pelajar baharu

PTPTN salur Wang Pendahuluan Pinjaman RM1,500 kepada 26,457 pelajar baharu

TASIK GELOGOR – Seramai 26,457 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi September ini bakal menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) RM1,500 setiap seorang.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, pemberian itu membabitkan peruntukan RM39.7 juta bagi membantu pelajar menampung sebahagian kos persediaan awal sebelum memulakan pengajian.

Menurutnya, WPP adalah kemudahan disediakan PTPTN bagi meringankan beban kewangan keluarga, selain memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih bersedia dan teratur.

“WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan itu ketika membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.

“Ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu menjadi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

PTPTN berkata, sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Julai lalu, lebih sejuta pelajar sudah menerima manfaat itu dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1.48 bilion.

Dalam pada itu, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP menerusi aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula hari ini.

“Pelajar perlu membawa surat tawaran WPP dan MyKad ketika membuat tuntutan, manakala wakil tidak dibenarkan.

“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan, bermula 4 September hingga 3 November depan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya komited memperkukuh agenda pendidikan tinggi dengan memastikan akses kepada pembiayaan pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta kedudukan sosioekonomi.

PTPTN salur Wang Pendahuluan Pinjaman RM1,500 kepada 26,457 pelajar baharu

Norliza (tiga dari kanan) menyerahkan replika kad WPP kepada salah seorang penerima.

“WPP PTPTN merupakan antara inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan awal kepada pelajar, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan asas sebelum pelajar memulakan pengajian di UA dan Politeknik,” tambah beliau.

Terdahulu, beliau menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP menerusi sesi ziarah ke rumah pelajar di kawasan Tasek Gelugor di sini sebelum menghadiri Majlis Penyerahan WPP bagi kawasan Bukit Gelugor.

Bagi pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN mengikut tarikh ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik.

Pelajar juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka menerusi aplikasi berkenaan.

 

 

Scroll to Top