PETALING JAYA: Kerajaan masih belum mempunyai angka rasmi berhubung kerugian yang dialami pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) susulan isu kelewatan pembekalan dan pengagihan baja Padi 3.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat 22 Oktober lalu, aktiviti penuaian padi di kawasan MADA telah mencapai 83 peratus dan masih belum ada angka rasmi berhubung kerugian yang dimaksudkan.
“Kajian menyeluruh hanya akan dilaksanakan selepas aktiviti penuaian padi selesai pada November ini bagi mendapatkan gambaran lebih lengkap dan tepat mengenai prestasi sebenar pengeluaran padi.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Bentuk intervensi lanjut hanya dapat ditentukan selepas kajian berkenaan selesai dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai sama ada kerajaan bercadang membayar ganti rugi kos pembelian Baja Padi 3 yang ditanggung pesawah MADA, tindakan terhadap pihak bertanggungjawab atas kelewatan meluluskan tender serta penglibatan kementerian dalam kelewatan itu.
Mengenai kelewatan pembekalan baja sebatian NPK tambahan (Baja Padi 3), Mohamad berkata, ia berpunca daripada kegagalan syarikat pembekal memenuhi spesifikasi, kuantiti dan kualiti seperti ditetapkan dalam dokumen tender.
Susulan itu, tindakan tegas diambil dengan menamatkan kontrak pembekal berkenaan dan melantik pembekal alternatif.
“Walaupun proses perolehan tender diuruskan agensi pelaksana di lapangan mengikut tatacara dan peraturan berkuat kuasa, kementerian sentiasa memantau perkembangan pembekalan baja berkenaan.
“Kementerian turut mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri libat urus dan rundingan bersama syarikat terbabit.
“Bagaimanapun, tindakan menamatkan kontrak dan melantik pembekal alternatif hanya dilaksanakan selepas rundingan dan peringatan yang diberikan gagal dipatuhi demi memelihara kepentingan dan kebajikan pesawah,” katanya. – UTUSAN




