Kerusi melayang, MP Armenia bertumbuk dalam dewan

Kerusi melayang, MP Armenia bertumbuk dalam dewan

YEREVAN – Sidang Parlimen Armenia bertukar kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertumbuk, malah sebuah kerusi turut dilemparkan ketika pergaduhan besar tercetus pada Khamis.

Insiden di Perhimpunan Kebangsaan Armenia itu membabitkan wakil parti pemerintah, Civil Contract pimpinan Perdana Menteri, Nikol Pashinyan dan parti pembangkang Strong Armenia.

Menurut laporan media tempatan, kekecohan bermula ketika Ahli Parlimen kerajaan, Taron Chakhoyan menyampaikan ucapan yang menyentuh keluarga pemimpin pembangkang, Narek Karapetyan.

Chakhoyan membangkitkan kenyataan kontroversi sepupu Karapetyan sebelum pilihan raya lalu berhubung cadangan menubuhkan sebuah kementerian khusus untuk memenuhi kehendak wanita.

Kenyataan itu mencetuskan pertikaman lidah apabila Karapetyan membalas dari tempat duduknya sebelum beberapa wakil rakyat bangun dan mula bertolak.

Keadaan semakin tegang apabila Chakhoyan dan Ahli Parlimen pembangkang, Garnik Davtyan dilaporkan saling berbalas tumbukan sehingga pergaduhan merebak ke seluruh dewan.

Rakaman kejadian turut menunjukkan Timbalan Speaker Parlimen, Vahagn Aleksanyan melemparkan sebuah kerusi ke arah wakil pembangkang ketika kekecohan memuncak.

Beberapa wakil rakyat dilaporkan mengalami kecederaan, termasuk Andranik Gevorgyan daripada Strong Armenia yang mengalami pendarahan hidung.

Seorang lagi wakil pembangkang, Ruben Mkhitaryan dilaporkan mengalami kerosakan pada pakaiannya ketika pergaduhan tersebut.

Speaker Parlimen, Ruben Rubinyan pada mulanya enggan menangguhkan persidangan, namun akhirnya mengarahkan sidang berehat dan memanggil anggota keselamatan bagi mengawal keadaan.

Sebuah ambulans turut dilaporkan tiba di bangunan Parlimen susulan kejadian itu.

Kekecohan bagaimanapun tidak berakhir di dalam dewan apabila pertengkaran antara wakil kerajaan dan pembangkang berlarutan hingga ke koridor bangunan Parlimen.

Selepas persidangan disambung semula, Rubinyan menyalahkan Karapetyan kerana didakwa mencetuskan provokasi yang membawa kepada pergaduhan.

Beliau turut mendakwa Davtyan melancarkan tumbukan pertama terhadap Chakhoyan, sekali gus mencetuskan pergelutan lebih besar.

Bagaimanapun, wakil pembangkang mempertikaikan tindakan Rubinyan yang didakwa gagal menghentikan pertengkaran lebih awal sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan fizikal.

Sementara itu, Pashinyan mengecam keganasan dalam Parlimen, namun pada masa sama mempertahankan tindakan wakil parti pemerintah dan meletakkan tanggungjawab terhadap kejadian itu kepada pembangkang.

Kejadian tersebut berlaku ketika ketegangan politik antara kerajaan dan pembangkang semakin memuncak selepas satu lagi pergelutan dilaporkan berlaku di Parlimen Armenia pada 6 Oktober lalu. – Agensi

Scroll to Top