Daytona Beach : Selepas lebih tiga dekad, bintang Hollywood, Tom Cruise, 64, bakal menghidupkan watak ikonik pelumba NASCAR, Cole Trickle menerusi sekuel filem blockbuster Days of Thunder yang dijadualkan menemui penonton pada Jun 2028.
Cruise menerusi laporan AsiaOne mengesahkan akan mengulangi watak itu selain bertindak sebagai penerbit bersama Jerry Bruckheimer dan Tommy Harper.
“Ini bukan sekadar perlumbaan. Ada sesuatu yang sangat istimewa mengenai pelumba dan budaya mereka.
“Saya sangat berbangga dapat menggambarkan perkara itu menerusi Days of Thunder yang pertama dan berbesar hati untuk berkongsi semula kisah berkenaan dengan dunia,” katanya.
Tambah Cruise, naskhah terbaharu terbitan Paramount Pictures ini akan memberikan pengalaman tontonan yang lebih dekat bagi memahami realiti kehidupan serta budaya kerja di sebalik tabir pasukan perlumbaan.
Sekuel ini dilaporkan bakal menampilkan pelakon popular, Anne Hathaway yang memegang peranan sebagai pemilik pasukan serta jurutera perlumbaan.
Naskhah baharu ini akan diarahkan oleh Jonathan Levine berdasarkan skrip tulisan Will Staples.
Untuk rekod, filem asal Days of Thunder ditayangkan pada tahun 1990 memaparkan kebangkitan Cole Trickle sebagai pelumba muda yang mahu mencipta nama dalam arena NASCAR.
Biarpun menerima kritikan berbelah bahagi pada awal tayangan, filem itu mencatatkan kutipan ‘box-office’ dan diiktiraf sebagai karya unik serta istimewa dalam kalangan peminat sukan permotoran.
Kembalinya Cruise menjayakan watak berkenaan dijangka menjadi tarikan gergasi layar perak yang menggabungkan aksi perlumbaan mendebarkan serta drama di sebalik litar. – Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd
