1,694 projek rumah swasta sakit dipulihkan

am@hmtero.com.my

Putrajaya: Sebanyak 1,694 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dipulihkan sejak Disember 2022 hingga Julai lalu menerusi usaha Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menteri, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pemulihan itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM155.46 bilion dengan 196,008 unit rumah.

Katanya, pencapaian itu memberi sinar baharu kepada ribuan pembeli yang sebelum ini terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kediaman masing-masing.

“Daripada jumlah itu, 1,516 projek perumahan sakit berjaya memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala 142 projek sakit kembali berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Selain itu, katanya, sebanyak 36 projek perumahan terbengkalai turut dipulihkan.

Aiman Athirah berkata, pencapaian itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu projek perumahan bermasalah, khususnya yang memberi kesan secara langsung kepada pembeli rumah.

Katanya, rumah bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya menjadi tempat lahirnya impian, ruang berlindung keluarga serta simbol maruah dan kehidupan yang lebih baik.

“Usaha pemulihan projek terbabit juga memberi kepastian kepada pembeli yang sekian lama berdepan ketidakpastian mengenai status rumah yang dibeli,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap kunci rumah diserahkan bukan sekadar membuka pintu kediaman, tetapi turut membuka ruang kepada kehidupan yang lebih baik dan bermakna untuk rakyat.

Katanya, pendekatan itu selari dengan usaha memastikan isu projek perumahan sakit dan terbengkalai tidak terus menjadi beban kepada pembeli, sebaliknya diselesaikan menerusi strategi serta tindakan bersepadu.

“Setiap rumah ada cerita dan setiap keluarga berhak memiliki masa depan yang lebih bermakna dan bermaruah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top