Hidupan liar berdepan kebuluran

olivia@nst.com.my

Kota Kinabalu: Jerebu dan fenomena El Nino berpotensi mengganggu rantaian makanan hutan hujan Sabah, sekali gus menyebabkan hidupan liar berdepan kekurangan makanan untuk tempoh berpanjangan, kata ahli biologi hidupan liar, Dr Wong Siew Te.

Beliau berkata, Sabah pernah mengalami kebuluran hidupan liar antara 1999 dan 2000 apabila kekurangan buah-buahan dalam tempoh panjang menyebabkan beruang matahari dan babi (bearded pig) mengalami susut berat badan yang teruk.

Dalam kajiannya bertajuk ‘Impacts of fruit production cycles on Malayan sun bears and bearded pigs in lowland tropical forest of Sabah, Malaysian Borneo’, Siew Te bersama penyelidik lain merekodkan tempoh kebuluran di hutan hujan tropika tanah rendah Sabah dari Ogos 1999 hingga September 2000.

Kajian itu mendapati keenam-enam beruang matahari Malaya (Helarctos malayanus) yang ditangkap dan dipasang kolar radio berada dalam keadaan fizikal yang lemah, dengan dua daripadanya kemudian ditemukan mati.

Keadaan fizikal babi (Sus barbatus) yang ditangkap, diperhatikan atau dirakam melalui perangkap kamera pula menunjukkan pelbagai tahap susut berat badan dan kebuluran.

Berdasarkan pemerhatian lapangan, Siew Te berkata fenomena El Nino dan keadaan cuaca luar biasa ketika itu mengganggu kitaran penghasilan buah secara normal di hutan hujan, sekali gus menyebabkan kekurangan makanan berpanjangan.

Antara sumber makanan penting ialah spesies Ficus atau pokok ara yang mampu menghasilkan buah di luar tempoh utama penghasilan buah secara serentak di seluruh hutan, sekali gus menjadi sumber makanan alternatif penting kepada hidupan liar.

Bagaimanapun, katanya, kemarau teruk boleh menjejaskan penghasilan buah ara dan dalam sesetengah keadaan turut mengganggu sistem pendebungaan khusus yang membabitkan tebuan ara, yang diperlukan oleh banyak spesies Ficus.

Siew Te yang juga pengasas Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC) berkata, kebuluran yang berlaku pada 1999 memberikan gambaran sejarah mengenai bagaimana keadaan iklim luar biasa boleh menjejaskan hidupan liar Sabah, bukan sahaja melalui tekanan haba atau kemarau secara langsung.

“Kebuluran pada 1999 memberikan contoh sejarah bagaimana keadaan iklim luar biasa boleh menjejaskan hidupan liar Sabah melebihi kesan langsung haba atau kemarau.

“Jika El Nino dan keadaan kering ketika ini mengganggu penghasilan buah dengan cara yang sama, hidupan liar sekali lagi mungkin berdepan kekurangan makanan untuk tempoh berpanjangan.

“Orang ramai juga perlu memahami bahawa jerebu akan membunuh tebuan ara. Kepupusan tempatan tebuan ara akan menyebabkan buah ara gugur atau terbantut sebelum matang.

“Apabila buah ara terbantut, tiada buah ara untuk dimakan hidupan liar di hutan kerana semua haiwan pemakan buah sangat bergantung kepada buah ara di hutan,” katanya.

Jabatan Meteorologi sebelum ini memaklumkan fenomena El Nino yang dikategorikan sebagai ‘super’ dijangka melanda Malaysia antara Oktober dan November 2026 dan berterusan sehingga 2027.

Sehingga berita ini ditulis, hampir seluruh Pulau Borneo diselubungi asap tebal akibat kebakaran hutan.

Mengulas jerebu tebal yang menjejaskan hampir seluruh pulau Borneo, Siew Te berkata hidupan liar juga berkemungkinan mengalami komplikasi pernafasan seperti manusia.

Pada Jumaat lalu, seekor orang utan dilaporkan mati selepas terdedah kepada asap akibat kebakaran hutan di Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, menempatkan hidupan liar dalam kurungan bagi mengurangkan kesan jerebu bukan langkah yang mampan.

Di Sabah, jumlah populasi beruang matahari liar masih tidak diketahui, namun BSBCC kini menempatkan lebih 40 ekor beruang matahari yang diselamatkan.

Populasi orang utan di Sabah dianggarkan sekitar 11,000 ekor manakala jumlahnya di seluruh Borneo sekitar 104,700 ekor.

Sementara itu, populasi bearded pig pula semakin menurun akibat wabak demam babi Afrika (ASF).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top