Singapura : Penyanyi rap, Sheikh Haikel, 50, mendedahkan menghidap kanser usus tahap empat dan telah berjuang menentang penyakit berkenaan selama lebih sembilan bulan.
Sheikh berkongsi berita sedih itu menerusi klip video di akaun Instagram miliknya.
Dia seolah-olah memberi bayangan mengenai derita penyakit yang dialami itu.
“Sekiranya saya bertemu anda dan kita bertegur sapa, izinkan saya memberikan tepukan terakhir buat anda sebagai tanda terima kasih.
“Saya rasa saya telah melakukan segalanya di hadapan anda semua. Saya menjadi Sheikh Haikel sang penyanyi rap, saya mewakili negara, memenangi pertandingan, dan membina sebuah keluarga – semuanya di depan mata anda. Oleh itu, wajar untuk saya berkongsi bahagian dalam hidup saya ini bersama anda.”
“Perkara yang bakal saya kongsikan ini bukanlah sesuatu yang baik, tetapi saya rasa ia amat perlu. Kepada semua yang menyaksikan video ini saya ingat memberitahu bahawa saya menghidap kanser tahap empat,” katanya sambil menahan sebak.
Sheikh turut memohon maaf kepada isterinya yang juga penyanyi dan pelakon tempatan, Anna Belle Francis, 48, yang terpaksa merahsiakan penyakitnya sebelum ini atas permintaannya sendiri.
“Ramai dalam kalangan anda yang bertanya kepadanya dan dia menjawab, ‘Ya, dia okay,’ sedangkan pada ketika itu saya sebenarnya tidak okay, dan masih belum okay hingga ke hari ini.”
Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk mendedahkan penyakitnya sekarang kerana keadaannya yang tidak begitu sihat sejak akhir-akhir ini dan tidak mengetahui apa yang berlaku pada masa akan datang.
Sheikh bergandingan dengan Ashidiq Ghazali membentuk kumpulan rap Construction Sight yang pernah mencetuskan fenomena pada 1991 apabila muncul juara rancangan pertandingan muzik serantau, Asia Bagus terbitan stesen televisyen Jepun, Fuji TV.
Kumpulan itu bagaimanapun berpisah kemudiannya bagi memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing.
Untuk rekod, Sheikh dan Anna Belle mendirikan rumah tangga pada tahun 2000 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu anak perempuan, Triqka serta dua anak lelaki, Abbra dan Juz.
Meskipun diuji dengan penyakit berkenaan, dia kekal positif dan mengakui perkongsian mengenai ujian hidupnya itu membuatkan perasaannya berasa lebih lega selain merakamkan penghargaan kepada keluarga tersayang.
Anna Belle pula mendedahkan suaminya disahkan menghidap kanser itu lebih sembilan bulan lalu dan telah menjalani pembedahan, namun memilih untuk merahsiakan berita berkenaan daripada pengetahuan umum bagi mengelakkan kebimbangan orang ramai.
Bagaimanapun, sel kanser berkenaan dilaporkan telah merebak secara agresif ke bahagian hati.
Di sebalik ujian berat itu, Sheikh yang kini berehat di rumah memberitahu dia tidak mahu penyakit tersebut menjadi penamat kepada kehidupan dan kerjaya seninya.
Malah meluahkan hasrat untuk terus bekerja sepanjang tempoh rawatan, selain merancang untuk melancarkan siri podcast baharu bertajuk Final Applause bagi berkongsi pengalaman serta perjalanan rawatannya.
Sheikh dan Anna Belle juga mengusahakan kedai nasi ayam Hainan bersijil halal, Hai Ge Ji di Bussorah Street, Singapura pada Julai 2024 sebelum membuka dua cawangan Hai Ge Ji Beef Noodles di Yishun dan Kopitiam Food Hall Plaza Singapura.
Pasangan itu memberitahu CNA Lifestyle bahawa mereka bersyukur dapat terus berkhidmat kepada pelanggan serta rakan-rakan di cawangan baharu dan komited untuk memastikan perniagaan mereka terus beroperasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
