SUBANG – Kawasan terakhir rakyat Malaysia dikesan menjadi tumpuan utama Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) di Nepal.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, bagaimanapun, keutamaan pasukan itu bukan hanya mencari rakyat Malaysia, sebaliknya menyelamatkan semua mangsa yang ditemui ketika operasi berkenaan.
“Tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kitalah, itu tumpuan, tapi tak semestinya kita jumpa rakyat kita, keutamaan kita mestilah rakyat kita,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelepasan pasukan SMART ke Nepal di Pangkalan Udara Subang di sini pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 11 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan kejadian banjir dan tanah runtuh yang melanda negara berkenaan.
Pasukan itu diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pasukan itu diketuai Komander Kontinjen, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa dan berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut Meor Ismail, operasi SMART itu bermula selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan Nepal dan dijadualkan berlangsung selama 10 hari.
“Kekuatan pasukan diketuai seorang komander dan 10 anggota yang terdiri daripada anggota pelbagai kemahiran atau multi-skill.
“Antaranya kepakaran mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal,” katanya.
Beliau berkata, pasukan berkenaan turut membawa kira-kira 12.4 tan peralatan bagi menyokong operasi SAR di lapangan.
“Antara peralatan dibawa termasuk alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan,” katanya.
Meor Ismail berkata, lokasi sebenar pergerakan pasukan SMART hanya akan ditentukan selepas mereka tiba di Nepal dan menerima taklimat daripada pihak berkuasa tempatan.
“Setibanya di sana, kita akan diberi taklimat dan disambut wakil Malaysia sebelum diberikan taklimat mengenai kawasan pengoperasian.
“Selepas itu, pihak berkenaan akan memberikan taklimat pengoperasian dan kita akan bergerak berdasarkan kawasan yang ditetapkan,” katanya.

Antara peralatan yang dibawa dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) di Nepal.
Beliau berkata, berdasarkan gambaran awal diterima, pasukan SMART berkemungkinan digerakkan ke kawasan terowong, namun lokasi tepat masih belum dipastikan.
Dalam pada itu, Meor Ismail berkata, tempoh operasi ditetapkan selama 10 hari mengikut standard ditetapkan pasukan, selain misi berkenaan berteraskan aspek kemanusiaan.
“Kita ini ada standard kita, standard kita itu sahaja, kita lebih kepada kemanusiaan, kita membantu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM atas kerjasama diberikan dalam menjayakan operasi berkenaan, selain Kementerian Luar Negeri (KLN) yang membantu mendapatkan kelulusan untuk pasukan SMART menjalankan misi SAR di Nepal.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Jabatan Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri, Choo Hwai Jeng.
Pesawat berkenaan dikendalikan Mission Commander TUDM, Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan bersama 31 kru TUDM.
Penerbangan ke Nepal itu dijangka mengambil masa kira-kira lima jam sebelum pasukan SMART meneruskan pergerakan ke kawasan operasi yang ditetapkan pihak berkuasa negara berkenaan.