LAGOS: Sekurang-kurangnya 37 orang maut awal Khamis di kawasan Delta Niger yang kaya dengan minyak di selatan Nigeria selepas menghidu wap ketika mencuri bahan api dari saluran paip, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Kecurian minyak merupakan masalah besar di Nigeria, salah satu pengeluar petroleum terbesar di benua Afrika.
Kemalangan sering berlaku di kawasan paya Delta Niger, apabila penyeludup membuat sambungan pada saluran paip untuk mencuri minyak mentah sebelum menapisnya menjadi bahan api untuk dijual.
“Pusat Advokasi Belia dan Alam Sekitar (YEAC-Nigeria) telah menerima dan mengesahkan laporan daripada rangkaian sukarelawan belia serta pembela hak asasi manusia di Delta Niger di Kawasan Kerajaan Tempatan Okrika, Rivers, bahawa beberapa individu, tidak kurang daripada 37 orang, telah disahkan meninggal dunia selepas menghidu bahan api,” katanya dalam satu kenyataan.
NGO itu berkata, mereka yang maut disyaki sebagai pencuri minyak dan menambah: “Ramai lagi masih hilang.”
Menurutnya, golongan belia telah menyambungkan paip ke satu titik tebukan pada saluran paip. Pada kebiasaannya, ia membawa minyak mentah dari kemudahan petrokimia Indorama Eleme melalui Kilang Penapisan Port Harcourt ke kapal-kapal yang memuatkan minyak untuk dieksport.
Mereka membuat sambungan pada saluran paip tersebut dan pada masa sama memindahkan minyak ke dalam bot mereka sendiri, kata NGO itu.
“Ramai masih hilang dan beberapa mayat telah dilihat terapung di sungai tetapi masih belum dapat dibawa naik,” kata organisasi itu. – AFP

