Qabil Irfan patah kaki kiri

Qabil Irfan patah kaki kiri

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan, mengalami patah tulang kaki kiri membabitkan tulang tibia dan fibula selepas terbabit dalam kemalangan ketika sesi Latihan Bebas 2 (FP2) Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada Jumaat. 

ZK Racing memaklumkan Qabil kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama kira-kira dua jam bagi merawat kecederaan itu.

Kemalangan berlaku ketika Qabil terjatuh selepas melalui selekoh kelima menuju ke selekoh keenam, sebelum pelumba yang berada di belakangnya gagal mengelak lalu melanggar kaki pelumba berusia 14 tahun itu.

Susulan kejadian, sesi FP2 dihentikan manakala Qabil segera dibawa ke hospital berdekatan bersama wakil pasukan MLAV Racing (MLAV) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati Qabil mengalami patah tulang pada kaki kiri yang melibatkan tulang tibia dan fibula. Pihak hospital kemudian memberikan rawatan segera selepas mengesahkan keadaan Qabil adalah stabil,” menurut kenyataan ZK Racing.

Qabil kemudian menjalani pembedahan yang mengambil masa kira-kira dua jam dan selesai sekitar 7 pagi waktu Malaysia pada Sabtu. 

Ketika ini, pelumba itu masih berada di hospital untuk pemantauan doktor sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia.

ZK Racing berkata, berdasarkan nasihat pihak perubatan, Qabil dijangka dibenarkan pulang selepas kira-kira lima hari, tertakluk kepada perkembangan keadaan kesihatannya.

Qabil Irfan patah kaki kiri

Qabil diberi rawatan kecemasan sejurus kemalangan ketika sesi latihan bebas di Litar Ricardo Tormo pada Jumaat. FOTO: FB ZK Racing.

Sepanjang tempoh rawatan, Qabil ditemani bapanya selain turut mendapat sokongan wakil MLAV Racing, ZK Racing dan pelumba negara, Hakim Danish yang berada di hospital bagi memastikan segala keperluan serta kebajikannya diuruskan dengan baik.

Pihak MLAV Racing dan ZK Racing turut berhubung rapat bagi memastikan segala urusan rawatan Qabil berjalan lancar, selain mendapatkan perkembangan terkini daripada doktor dan keluarganya.

Insiden itu berlaku ketika Qabil sepatutnya meneruskan cabaran pada Pusingan 5 Moto4 European Cup di Ricardo Tormo yang berlangsung dari 4 hingga 6 September.

Sebelum turun beraksi di Valencia, Qabil berada di kedudukan keenam keseluruhan kejuaraan dengan 61 mata selepas empat pusingan.

Pelumba SIC-GRYD Racing itu hadir ke Valencia dengan keyakinan selepas mencatat dua podium dalam Pusingan 2 Idemitsu Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Sepang pada Ogos lalu, masing-masing dengan keputusan tempat ketiga dalam kedua-dua perlumbaan.

Qabil ditemani bapa (belakang, kiri) dan Hakim Danish (kanan) ketika menerima rawatan di Valencia. FOTO: FB ZK Racing.

Qabil ditemani bapa (belakang, kiri) dan Hakim Danish (kanan) ketika menerima rawatan di Valencia. FOTO: FB ZK Racing.

Dalam saingan Moto4 European Cup pula, Qabil mencipta sejarah peribadi apabila meraih podium sulungnya pada Pusingan 3 di Jerez sebelum mengekalkan kedudukan keenam keseluruhan dengan 51 mata selepas pusingan keempat di Magny-Cours.

Pada penampilan sulungnya dalam kejuaraan Eropah itu di Barcelona, Qabil turut menunjukkan potensi besar apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas bermula dari petak kelapan, sekali gus mengutip 13 mata.

Menjelang perlumbaan di Ricardo Tormo, Qabil sebelum ini menyasarkan untuk bersaing dalam kelompok hadapan dan mengutip mata penting selepas mengakui litar berkenaan merupakan cabaran baharu kerana dia tidak beraksi di situ musim lalu.

Namun, kemalangan dalam FP2 itu kini menyaksikan fokus utama beralih kepada proses rawatan dan pemulihan Qabil.

ZK Racing dalam pada itu mendoakan agar Qabil terus diberikan kekuatan untuk menjalani proses pemulihan dengan baik dan kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan Qabil akan disampaikan oleh ZK Racing berdasarkan maklumat rasmi daripada pihak perubatan dan keluarga,” menurut kenyataan itu.

Scroll to Top