Tragedi Pantai Tanjung Lompat: Jasad mangsa terakhir ditemui

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Jasad mangsa lemas keempat dan terakhir di Pantai Tanjung Lompat di sini, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 3.05 petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad berkata, identiti Mohamad Haiman Fitri Supian, 16, disahkan ahli keluarga.

“Mayat ditemui orang awam pada jam 3.05 petang di kawasan batuan pesisir Pantai Tanjung Siang, di sini iaitu kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.

“Ahli keluarga mangsa juga mengesahkan identiti mangsa pada jam 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemui lemas kira-kira jam 1.25 tengah hari, Rabu lalu, manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan jam 1.53 tengah hari keesokannya.

Mangsa ketiga, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, pula ditemukan jam 11.15 pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi Rabu lalu itu berlaku apabila salah seorang daripada mangsa hampir lemas sebelum rakan-rakan lain cuba menyelamatkannya sebelum mereka turut lemas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top