mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri/Pendaftar Syarikat serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
SBMJ itu adalah syarikat awam tanpa modal saham yang ditubuhkan bukan untuk tujuan keuntungan dan didaftarkan berdasarkan objektif tertentu.
SSM berkata, objektif yang dimaksudkan merangkumi kebajikan, pendidikan, sains, seni, agama dan aktiviti lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, SBMJ beroperasi dengan liabiliti ahli yang terhad kepada amaun yang dijamin untuk disumbang sekiranya syarikat digulungkan.
“Berdasarkan Garis Panduan SBMJ, mereka yang ingin membuat kutipan hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri/Pendaftar Syarikat serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya SBMJ menjalankan aktiviti mengumpul sumbangan daripada orang ramai tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu,” katanya.
Menurutnya, semua SBMJ perlu mematuhi Perenggan 23(d) Garis Panduan SBMJ yang melarang pengumpulan sumbangan daripada orang ramai tanpa kebenaran.
“Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh menyebabkan tindakan diambil mengikut Seksyen 20E Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 (ASSM 2001).
“SBMJ yang menerima atau memberikan sumbangan juga diwajibkan membuat pendedahan yang sewajarnya mengenai dana, sumbangan, atau sumbangan yang diterima atau diberikan dalam nota kepada penyata kewangan mereka.
“Di samping itu, SBMJ ini hendaklah menyimpan senarai terperinci mengenai semua dana yang diterima atau diberikan termasuk nama individu atau entiti yang terbabit, alamat pihak yang mereka berurusan, jumlah dana, tarikh transaksi serta dokumen sokongan yang berkaitan,” katanya.
Menurut SSM, setiap transaksi perlu didokumentasikan dengan teliti, termasuk penyimpanan penyata bank sebagai bukti.
“Sehingga 1 Julai lalu, sebanyak 113 SBMJ menerima kelulusan untuk mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
“Setiap kelulusan hanya berkuat kuasa selama satu tahun daripada tarikh kelulusan diberikan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

