Kuartet Malaysia cemerlang di Muscat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kuartet pecut Malaysia mencuri tumpuan di Muscat Grand Prix 2026 apabila masing-masing meraih dua pingat emas dan satu gangsa menerusi acara 4×100 meter lelaki dan wanita di Muscat, Oman, awal pagi tadi.

Kuartet lelaki A yang dibarisi Pengiran Aidil Auf Hajam, Danish Iftikhar Muhammad Roslee , Muhammad Umaira Subri dan Muhammad Azeem Fahmi tampil cemerlang apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 39.18 saat (s), sekali gus meraih pingat emas.

Kuartet Malaysia B turut mencipta kejayaan apabila Umar Osman, Mohamad Armin Zahryl bin Abdul Latif, Muhammad Sayyid Amin Roslan dan Muhammad Haziq bin Mohamad Akhir meraih gangsa selepas mencatat 41.29s.

Gandingan Malaysia B itu menamatkan perlumbaan di belakang Oman A yang meraih perak dengan catatan 40.38s, manakala Lubnan A menduduki tempat keempat dengan masa 41.71s.

Kecemerlangan skuad negara diteruskan menerusi kuartet 4x100m wanita yang turut berjaya menaiki podium tertinggi selepas mencatat 46.07s.

Kuartet wanita negara dibarisi Azreen Nabila Alias, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira , Nurul Wardatul Huwaida Mohd dan Nur Aishah Rofina Aling.

Pencapaian itu menyaksikan kuartet negara membuktikan kemampuan untuk bersaing dalam saingan antarabangsa, selain memberikan suntikan keyakinan kepada barisan pelari pecut negara untuk terus memperbaiki catatan masing-masing.

Kejayaan dua kuartet meraih emas serta satu lagi gangsa sekali gus menjadikan Malaysia antara pasukan yang menyerlah dalam acara 4x100m pada Muscat Grand Prix 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top