Ismail zahirkan taat setia kepada Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama kerajaan negeri hari ini menzahirkan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Katanya, beliau mengambil maklum kenyataan media yang dibuat oleh Undang Yang Empat bertarikh semalam.

“Apa jua pandangan Undang Yang Empat adalah hak mereka.

“Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Ia susulan kenyataan media yang menuntut pentadbiran kerajaan negeri terutamanya Setiausaha Kerajaan Negeri mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz yang didakwa telah ditandatangani Ismail pada 3 Ogos 2026 lalu.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Mubarak Thahak yang dikaitkan dengan jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Abdul Rahim Yasin (Undang Luak Rembau), Datuk Maarof Mat Rashad (Undang Luak Jelebu) dan Badarudin Abdul Khalid (Datuk Shahbandar Sungei Ujong).

Turut menandatangani kenyataan itu ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri. – UTUSAN 

Scroll to Top