MUNIF 2.0 bukan sekadar wacana, 10 ketetapan tindakan dipacu

MUNIF 2.0 bukan sekadar wacana, 10 ketetapan tindakan dipacu

KOTA BHARU – Muslim Ummah International Forum 2.0 (MUNIF 2.0) tidak mahu berakhir sebagai pentas wacana dan luahan solidariti semata-mata apabila 10 ketetapan tindakan dimuktamadkan menerusi Deklarasi Kota Bharu, pada 3 September lalu.

Deklarasi berkenaan memberi penekanan kepada usaha menggembleng kekuatan geopolitik, ekonomi, undang-undang dan maklumat dunia Islam secara lebih tersusun, selain menyeru perbalahan mazhab tidak menjadi penghalang kepada solidariti terhadap Palestin.

MUNIF 2.0 yang dianjurkan Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra itu menghimpunkan 183 perwakilan dari 15 negara.

Antara negara yang menyertai forum berkenaan ialah Turkiye, Pakistan, India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Indonesia, Thailand, Filipina, Yaman, Palestin, Mesir, Nigeria, United Kingdom dan Malaysia.

Forum yang bertemakan ‘Uniting to Amplify the Power of the Ummah: Global Solidarity with Iran Towards the Liberation of Palestine’ itu turut memberi tumpuan kepada konflik dan tekanan geopolitik membabitkan Palestin, Iran, Lubnan serta Yaman.

MUNIF 2.0 bukan sekadar wacana, 10 ketetapan tindakan dipacu

Dr Muhammad Khalil (Pengerusi MUNIF 2.0) memberikan ucapan dan membacakan Deklarasi Kota Bharu.

Pengerusi MUNIF 2.0, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, forum berkenaan dirangka bagi mengukuhkan jaringan strategik antarabangsa, meneruskan advokasi dan sokongan praktikal, mempertahankan kedaulatan negara Islam yang tertekan serta mengaktifkan Jawatankuasa Bertindak Bersama.

Menurutnya, usaha membina naratif Islam yang tersusun juga menjadi antara agenda utama forum.

“Cabaran yang berlaku di Palestin, Iran, Lubnan, Yaman dan wilayah lain memerlukan tindakan yang strategik, bersatu dan berterusan, bukan sekadar simpati pasif.

“Justeru, sokongan perlu diteruskan melalui saluran kemanusiaan, pendidikan dan diplomasi, selain keputusan yang dipersetujui perlu dipantau pelaksanaannya,” katanya ketika penutup MUNIF 2.0.

Dalam pada itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ucaptama berkata, isu Iran dalam konteks perjuangan Palestin perlu dinilai berdasarkan kerangka fiqh siyasah serta pertimbangan maslahat dan mudarat, bukannya semata-mata berdasarkan perbezaan Sunni-Syiah.

Beliau menegaskan kepentingan memilih kemudaratan yang lebih ringan apabila berhadapan dua kemudaratan serta mendahulukan usaha menolak kemudaratan sebelum memperoleh kemaslahatan.

Penyampaian cenderahati sempena Majlis Perasmian Penutup oleh Mohd Nassuruddin.

Penyampaian cenderahati sempena Majlis Perasmian Penutup oleh Mohd Nassuruddin.

Deklarasi Kota Bharu turut menggesa mobilisasi bantuan kemanusiaan dan pembiayaan secara lebih tersusun, termasuk membina saluran logistik alternatif bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada masyarakat yang terjejas akibat konflik.

Selain itu, pendidikan, bantuan kemanusiaan dan diplomasi awam dikenal pasti sebagai antara saluran yang perlu diperkukuh selepas forum.

Dalam aspek maklumat, MUNIF 2.0 menyeru penguasaan media sosial alternatif serta pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan bagi mencabar propaganda dan memperkukuh penyampaian maklumat mengenai Palestin.

Forum turut menggesa kesinambungan kempen boikot sebagai bentuk tekanan pengguna yang tersusun, selain mencadangkan pemanfaatan kedudukan geostrategik dunia Islam termasuk laluan maritim dan sumber tenaga sebagai instrumen tekanan politik dalam hubungan antarabangsa.

Dari sudut perundangan pula, deklarasi menyokong penglibatan mahasiswa, intelektual, peguam dan cendekiawan dalam tindakan undang-undang antarabangsa serta memperkasa usaha membawa dakwaan jenayah perang ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Masjid Al-Aqsa dan Baitulmaqdis turut ditegaskan sebagai isu asas yang tidak boleh dikompromi, dengan kesucian Al-Aqsa diletakkan sebagai ‘garis merah’ umat Islam.

MUNIF 2.0 turut bersetuju mengaktifkan semula Jawatankuasa Bertindak Bersama yang diwujudkan menerusi MUNIF 1.0, selain memuktamadkan penubuhan Sekretariat Tindakan Khas Pasca-MUNIF 2.0.

Sekretariat berkenaan diberi mandat menyelaras tindakan dalam aspek perundangan, pemantauan boikot, misi kemanusiaan, pendidikan generasi muda serta kempen diplomasi awam.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, penyertaan perwakilan antarabangsa membuktikan perbezaan geografi dan bahasa tidak semestinya menjadi penghalang kepada pembinaan kesepakatan.

Beliau berkata, ukhuwah Islamiyah perlu diterjemahkan daripada syiar kepada tindakan nyata dalam membela masyarakat yang terkesan akibat konflik dan penindasan.

Majlis Makan Malam sempena MUNIF 2.0.

Majlis Makan Malam sempena MUNIF 2.0.

MUNIF 2.0 yang meneruskan kesinambungan forum pertama di Kedah pada tahun lalu dilihat memperlihatkan perubahan daripada pembinaan jaringan kepada usaha membentuk mekanisme tindakan bersama.

Cabaran selepas ini adalah memastikan 10 ketetapan Deklarasi Kota Bharu tidak sekadar kekal sebagai resolusi, sebaliknya diterjemahkan kepada program yang boleh dilaksanakan, diukur dan dipantau secara berterusan.

Scroll to Top