ISKANDAR PUTERI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal profesional demi kestabilan kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, komitmen untuk kekal sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan Perpaduan telah dipersetujui menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan portal berita antarabangsa, Bloomberg yang mendakwa hubungan antara beliau dengan Anwar berada dalam keadaan tegang.
“Saya tiada sebarang masalah sama ada peribadi atau secara rasmi, yang penting bagi BN sebagai salah sebuah komponen dalam kerajaan Perpaduan adalah memastikan kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.
“Kami telah melakukan proses membuat keputusan dan juga mencapai keputusan secara profesional. Kita tahu bahawa resolusi PAU telah tetapkan kita berada dalam kerajaan untuk pastikan kestabilan politik sepenuhnya demi mengelakkan permasalahan termasuk kemasukan pelabur luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan hubungan antara kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu tegang sehingga menyebabkan mesyuarat kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Laporan berkenaan mendakwa ketegangan itu berpunca daripada keputusan BN untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ahmad Zahid turut memberitahu, pentadbiran kerajaan Perpaduan berlangsung dengan baik termasuk perjalanan mesyuarat kabinet melibatkan barisan jemaah menteri.
“Hakikatnya tidak ada sebarang permasalahan ketika kita berada dalam mesyuarat kabinet ataupun dalam majlis acara rasmi,” katanya.-UTUSAN

