KPM beri jaminan tiada SJKT ditutup

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ditutup, sebaliknya semua sekolah berkenaan akan terus diberi tumpuan daripada aspek pembangunan, penyelenggaraan serta pengukuhan guru dan murid.

Menteri, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan itu penting susulan masih terdapat pandangan dalam kalangan masyarakat bahawa ada SJKT akan ditutup.

“Saya berpegang kepada penegasan ini kerana saya fikir masih ada lagi dalam masyarakat kita yang memberikan satu pandangan bahawa sekolah-sekolah ini (SJKT) akan ditutup dan sebagainya.

“Tetapi kita beri jaminan, sebagai kerajaan MADANI ini, tiada SJKT yang akan ditutup. Malah, kita akan berikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan dan juga program yang berkaitan dengan pengukuhan guru serta pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Pembinaan SJKT Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, pembinaan SJKT Sungai Bakap penting khususnya kepada masyarakat setempat serta dari sudut pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.

Katanya, projek bernilai RM12.6 juta itu akan dilaksanakan Yayasan Didik Negara (YDN) dalam tempoh 56 minggu, manakala pelaksanaannya akan dipantau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

“Sekolah ini, dari segi pembinaannya, adalah komprehensif daripada segi keperluan anak-anak dan pastinya ia akan memberikan satu tujuan yang penting untuk pendidikan, bukan sahaja di peringkat menengah tetapi juga untuk negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam memastikan pembinaan SJKT Sungai Bakap dapat direalisasikan, termasuk komuniti, ibu bapa, guru dan pemimpin masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo, berkata projek pembinaan SJKT Sungai Bakap sebelum ini tertangguh dan terhenti kerja sebelum dapat dimulakan semula selepas lebih tujuh tahun.

Katanya, projek berkenaan sangat dinantikan berikutan bangunan sekolah lama yang menempatkan lebih 100 murid kini berada dalam keadaan usang.

“Sebelum ini pelbagai isu timbul susulan isu tanah termasuk kelewatan berpunca daripada masalah kontraktor serta kes mahkamah, namun semua ini telah berjaya diselesaikan.

“Pembangunan sekolah ini disasarkan siap dalam tempoh 56 minggu, dengan kerja asas yang menjadi antara komponen paling mengambil masa sudah dimulakan, manakala kerja seterusnya membabitkan struktur utama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sundarajoo yang juga EXCO Perumahan dan Alam Sekitar negeri, berkata kerajaan negeri menyasarkan pembinaan tiga bangunan SJKT pada tahun ini.

Katanya, SJKT Sungai Bakap adalah sekolah kedua yang dibangunkan, manakala kerja bagi sekolah ketiga, SJKT Juru, diharap dapat dimulakan sebelum hujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top